Malaysia cadang usaha sama perikanan laut dalam – Abdullah

Daripada Zaharuddin Mohd. Ali

SINGAPURA 19 Nov. – Malaysia hari ini mencadangkan penubuhan sebuah syarikat perikanan laut dalam secara usaha sama membabitkan usahawan Thailand, Indonesia, Brunei dan Filipina bagi meneroka khazanah maritim rantau Asia Tenggara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, melalui penubuhan syarikat terbabit, kapal syarikat perikanan itu boleh memasuki perairan negara-negara anggota rakan kongsi usaha sama tanpa menghadapi sebarang masalah.

‘‘Dalam hubungan ini, negara-negara terbabit perlu menentukan pihak yang akan dipilih untuk menyertai syarikat usaha sama tersebut dengan memegang ekuiti dalam jumlah tertentu dan keuntungannya pula diagihkan mengikut peratus saham yang dipegang.

‘‘Penubuhan syarikat usaha sama yang dicadangkan itu membabitkan pelaburan besar dan tentunya akan mempunyai keupayaan yang tinggi,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian kepada wartawan Malaysia ketika ditanya mengenai hasil Sidang Kemuncak Keempat Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan Sidang Kemuncak Ketiga Kawasan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) yang dihadirinya di sini.

Selain itu, petang ini beliau turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Hotel Shangri-la tempat Sidang Kemuncak ASEAN dilangsungkan.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama BIMP-EAGA dan IMT-GT, Abdullah menegaskan, lebih banyak usaha sama boleh diterokai dalam pelbagai bidang jika terdapat peluang untuk berbuat demikian.

Katanya, negara-negara terbabit boleh mendapatkan bantuan kewangan daripada Bank Pembangunan Asia (ADB) bagi menjayakan projek-projek yang dirancang untuk dilaksanakan di kedua-dua kawasan pertumbuhan itu.

Menyentuh mengenai kedua-dua kawasan pertumbuhan itu, Perdana Menteri menekankan mengenai pentingnya rangkaian perhubungan sama ada jalan raya, penerbangan atau telekomunikasi diwujudkan.

Menurut beliau, kemudahan-kemudahan itu amat penting disediakan bagi menjayakan pembangunan yang akan dilakukan menerusi kerjasama yang dijalin.

– Utusan

0 comments: