YaPEIM sasar pusingan modal RM500 juta menjelang 2010

KUALA LUMPUR 19 Nov. – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) hari ini menetapkan sasaran keperluan pusingan modal melebihi RM500 juta menjelang tahun 2010.

Ketua Pengarahnya, Dr. Abd. Malek Awang Kechil berkata, sasaran itu diumumkan seiring dengan kewujudan 400 cawangan baru peneraju skim pajak gadai Islam, Ar-Rahnu yang akan dibina di seluruh negara.

‘‘Kita jangka seramai 3.2 juta orang bakal menerima manfaat daripada skim pembiayaan program mikro kredit yang berasaskan hukum syarak.

‘‘Beberapa pakej lain juga akan diperkenalkan bertujuan memberi insentif kepada golongan miskin dan kurang upaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Antara pakej baru yang diperkenalkan melalui Pusat Komuniti YaPEIM adalah Kelab Maya Sahabat Ar-Rahnu, Skim Galakan Usahaniaga Perintis, Skim Anugerah Jejak Jaya dan Skim Sahabat Emas Ar-Rahnu.

Menurut Abd. Malek, perjanjian persefahaman (MoU) dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) juga dimeterai baru-baru ini untuk mewujudkan Akreditasi Amalan Ar-Rahnu pertama di dunia.

‘‘Ia meletakkan perlaksanaan skim ini sendiri pada satu tahap rujukan di dalam dan luar negara.

‘‘Sasarannya jelas. Kita bakal menguasai 25 hingga 30 peratus pasaran pajak gadai Asia Tenggara dalam masa tiga tahun lagi,” ujarnya.

0 comments: