Terengganu tuan rumah tilawah antarabangsa

Oleh Mohammad Ishak

JERTIH: Terengganu dipilih menjadi tuan rumah majlis tilawah al-Quran peringkat antarabangsa dijadualkan berlangsung Ogos tahun depan sempena sambutan Jubli Emas majlis tilawah al-Quran yang diadakan di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersetuju majlis itu diadakan di negeri ini kerana Terengganu kini mempunyai pelbagai kemudahan untuk penganjuran majlis berprestij.

Katanya, majlis tilawah kali ini akan mempunyai catatan sejarah tersendiri kerana diadakan di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man yang terletak di pinggir Sungai Terengganu.


Beliau berkata, lokasi itu mampu menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara.

TTI, katanya, dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana tempat itu mempunyai dewan konvensyen yang mampu menampung sehingga 3,000 penonton, selain kemudahan bilik untuk menempatkan jemaah hakim.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, beliau sudah melawat tempat itu kelmarin dan bersetuju majlis itu diadakan di lokasi itu kerana amat menarik dan mampu memikat pengunjung yang ingin menyaksikan pelbagai kesan tamadun Islam dunia.

0 comments: