Rang undang-undang ECER dibentangkan

KOTA BHARU 19 Nov. – Satu rang undang-undang baru mengenai Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) akan dibentangkan di Parlimen bulan depan bagi memastikan pelan pembangunan wilayah tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar.

Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata, menerusi rang undang-undang itu, satu akta khusus untuk ECER akan dikuatkuasakan sepenuhnya sebagai garis panduan pelaksanaannya.

“Rang undang-undang perlu diluluskan sebagai pengesahan kuasa ke atas majlis atau badan yang akan melaksanakan pelan pembangunan ini, dari semua aspek termasuk segi kewangan atau pun kuasa ketua pegawai eksekutif (CEO).

“Ia juga akan membantu melicinkan lagi usaha untuk melaksanakan pelan ini dengan baik dan dapat disampaikan kepada golongan sasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis taklimat khas ECER yang disampaikan oleh Petronas kepada ketua-ketua jabatan dan agensi Persekutuan di sini hari ini.

ECER yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akhir bulan lalu akan mula dimajukan dengan pelaksanaan projek-projek pemangkin berimpak tinggi bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan penduduk wilayah tersebut.

Dalam pada itu, Mustapa yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, pada majlis tersebut semua ketua jabatan diberikan taklimat secara terperinci mengenai ECER.

“Secara amnya kita menjelaskan bahawa ada satu majlis khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan ahlinya terdiri daripada Menteri Besar dari negeri-negeri terbabit.

“Kerajaan juga akan melantik CEO dan pegawai-pegawai untuk menguruskan pelan pelaksanaan, kita juga akan pastikan ada satu jentera untuk menghubungkan ECER dengan kerajaan negeri.

“Kerjasama kerajaan negeri amat penting kerana kita memerlukan tanah dan juga melibatkan hal perundangan,” katanya.

0 comments: