SHAH ALAM 19 Nov. – Seorang doktor memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak dapat mengecam dengan tepat sama ada kad Fast Track Analysis (FTA) mengandungi contoh darah ibu Altantuya Shaariibuu, Altentsetseg Sanjaa adalah kad sebenar yang digunakan untuk mengambil contoh darah wanita itu di Mongolia, Mac lalu.
Pakar perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, Dr. Noor Azleen Ayop, 35, ketika menjawab soalan balas peguam Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili tertuduh kedua, Konstabel Sirul Azhar Umar dalam kes bunuh Altantuya berkata, ini kerana tiada tanda dibuat ke atas kad FTA itu bagi tujuan pengecaman.
Walaupun begitu, beliau yang bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada tahun lalu berkata, pengecaman masih boleh dilakukan melalui sampul surat (mengandungi kad tersebut) yang ditandakan olehnya dan tompokan darah yang dikenakan ke atas kad tersebut.
Beliau juga memberitahu, sepanjang tempoh kad FTA itu berada di bawah jagaannya iaitu mulai contoh darah diambil pada 15 Mac sehingga kembali semula ke Malaysia pada 17 Mac lalu, kad itu disimpan di tempat yang selamat iaitu di dalam sebuah peti berkunci yang dibawa dari Malaysia.
Peti tersebut, kata Noor Azleen, sentiasa berada di sisinya dan jika beliau keluar dari bilik, anak kunci peti tersebut akan sentiasa dibawa oleh beliau.
Menjawab soalan lain daripada Ahmad Zaidi, doktor tersebut berkata, beliau memilih kaedah kad FTA untuk mengambil contoh darah Altentsetseg berbanding contoh darah dimasukkan ke dalam botol EDTA adalah bagi mengelakkan contoh darah itu rosak.
“Memandangkan saya perlu melakukan perjalanan jauh (ke Mongolia) untuk mengambil sampel (darah), saya risau jika sampel itu rosak di dalam botol kerana mengambil masa yang lama untuk diserahkan semula,” ujarnya.
Sewaktu disoal balas oleh peguam Datuk Hazman Ahmad yang mewakili tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri, Noor Azleen berkata, itu merupakan pertama kali beliau menggunakan kad FTA dan beliau tidak pasti sama ada kad itu mempunyai nombor siri walaupun terdapat dua susunan nombor di penjuru bawah kad itu.
Menurutnya, beliau tidak ada mencatatkan nombor-nombor itu dan tidak ada membuat sebarang penandaan pada kad itu bagi memastikan ia tidak bertukar.
Ditanya pula oleh peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Abdul Razak Abdullah Baginda, kata Noor Azleen, dalam kes bunuh tersebut, beliau tidak mengambil contoh darah orang lain kecuali Altentsetseg dan bapa Altantuya, Setev Shaariibuu.
Semasa disoal semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup, Noor Azleen menjelaskan sekali lagi bahawa beliau boleh mengecam kad FTA itu adalah kad yang dibawa balik dari Mongolia berdasarkan tompokan darah yang dibuat dan tanda yang dilakukan pada sampul surat mengandungi kad itu.
Terdahulu, semasa pemeriksaan utama oleh Manoj, saksi pendakwa ke-53 itu berkata, beliau pergi ke Mongolia pada 13 Mac lalu bersama pegawai penyiasat, Deputi Supritendan (DSP) Gan Tack Guan untuk mengambil contoh darah Altentsetseg atas permintaan pihak polis.
Menurutnya, mereka berdua tiba di Ulan Bator, Mongolia pada 14 Mac dan keesokan harinya, mereka bertemu dengan Altentsetseg di Ibu Pejabat Polis Ulan Bator.
“Contoh darah (Altentsetseg) diambil daripada picagari dan diletakkan di atas kad FTA. Kemudian contoh darah itu dibiarkan kering sebelum disimpan ke dalam satu sampul surat. Sampul surat tersebut saya simpan,” katanya.
Noor Azleen turut memberitahu, sebelum pergi ke Mongolia, beliau bersama jururawat terlatih, Nor Azilla Ibrahim telah mengikut Tack Guan pergi ke Hotel Eastin untuk mengambil contoh darah Setev bagi tujuan mengenalpasti Asid Deoksiribonukleik (DNA) pada 10 November 2006.
Perbicaraan bersambung esok.
0 comments:
Post a Comment