ECER: Sultan mahu negeri beri kerjasama

KOTA BHARU 19 Nov. – Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra mahu kerajaan negeri memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan pusat dalam menjayakan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan ekonomi rakyat negeri itu.

Untuk itu, baginda mencadangkan ditubuhkan jentera penyelarasan bagi mempercepatkan urusan yang melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri bagi memastikan pelaksanaan projek ECER yang keseluruhannya bernilai RM112 bilion berjalan sebagaimana dirancang.

“Urusan berkaitan dengan tapak atau tanah perlu dipercepatkan dan jentera penyelarasan pelaksanaan di antara (kerajaan) Persekutuan dan negeri hendaklah dibentuk bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar,” titah baginda semasa merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri (Bajet 2008) di sini, hari ini.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.

Baginda bertitah, program yang dirancang di bawah ECER mampu mencetus dan mengembangkan peluang pelaburan dan guna tenaga di Kelantan khususnya dalam bidang industri berasaskan pertanian, perikanan, kemudahan asas, petrokimia, gas dan pelancongan.

Dalam masa yang sama kerajaan negeri juga perlu berusaha mengembangkan ekonomi negeri dengan menarik lebih banyak penglibatan swasta dalam bidang berpotensi seperti pembangunan tanah, perladangan, prasarana pelancongan, pusat pertumbuhan perumahan serta kemudahan asas yang lain, titah baginda.

Selain itu, baginda bertitah, kerajaan negeri juga perlu memberi perhatian terhadap projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) seperti kampus sementara Universiti Malaysia Kelantan, Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra, Lebuh Raya Kota Baharu-Kuala Krai dan fasa ketiga Lebuh Raya Pantai Timur dari Terengganu ke Kelantan.

Teguran Ketua Audit Negara mengenai kedudukan kewangan kerajaan negeri turut mendapat perhatian baginda dengan meminta kerajaan negeri lebih bersungguh-sungguh dalam meneroka dan membangun sumber baru dari khazanah bumi dan warisan negeri.

“Penerokaan sumber- sumber baru ini akan dapat menambah hasil kerajaan negeri dan seterusnya menjana ekonomi negeri,” titah baginda.

Kekayaan hasil bumi seperti emas, lempung bebola, batu kapur dan feldspar perlu dimanfaatkan kerajaan negeri dalam mengeksploitasi sumber-sumber kekayaan itu bagi menjana hasil negeri, titah baginda.

Baginda juga mahu kerajaan negeri meningkatkan kemudahan pelancongan sempena Tahun Melawat Kelantan 2008 serta mempelbagaikan destinasi dan produk pelancongan.

– Bernama

0 comments: