Tilawah antarabangsa di K. Terengganu tahun depan

BESUT 19 Nov. – Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu dipilih sebagai lokasi majlis tilawah al-Quran peringkat antarabangsa tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, pemilihan taman itu yang menempatkan replika masjid-masjid bersejarah di dunia telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa melawat taman itu, semalam.

Menurutnya, pemilihan lokasi yang unik itu sesuai dengan sambutan jubli emas majlis tilawah berkenaan.

‘‘Inilah kali pertama acara yang biasanya diadakan di ibu negara dibawa ke Terengganu bagi meraikan tiga acara penting dan bersejarah yang berlangsung di negeri ini tahun depan.

‘‘Acara tersebut ialah pengisytiharan Kuala Terengganu sebagai sebuah bandar raya pada 1 Januari ini, Tahun Melawat Terengganu 2008 (TMT 2008) dan Sukan Malaysia XII (Sukma XII),” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Besut berkata demikian semasa berucap pada majlis sarapan bersama penduduk Kampung Gong Guchil di Jerteh hari ini.

Abdullah memberitahu, semua kemudahan di Taman Tamadun Islam dijangka siap menjelang Februari depan.

Menurutnya, antara kemudahan yang disediakan adalah dewan konvensyen yang mampu menampung antara 2,000 hingga 3,000 tempat duduk yang sesuai untuk penganjuran majlis besar.

Katanya, TTI yang mempunyai binaan masjid tersohor di dunia menarik minat Perdana Menteri dan ia dijangka mampu menjadi tarikan pelancongan baru di negeri itu.

“Sempena sambutan jubli emas majlis tilawah ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menerbitkan beberapa buku yang mengandungi maklumat dan gambar binaan astaka yang disediakan sepanjang 50 tahun majlis tilawah diadakan,” ujarnya.

0 comments: