Seminar Wacana Perkasakan SK 22 November

PUTRAJAYA 19 Nov. – Kementerian Pelajaran akan menganjurkan satu seminar yang bertajuk Wacana Memperkasakan Sekolah Kebangsaan (SK) di sini, pada 22 November ini.

Ketua Pengarah Pelajar, Datuk Alimuddin Mohd. Dom akan merasmikan seminar sehari yang bertajuk Sekolah Kebangsaan Menjana Perpaduan.

Seminar itu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pertama adalah perbincangan oleh ahli panel yang terdiri daripada bekas pendidik, ahli politik dan korporat.

Bahagian pertama itu akan memfokuskan kepada bagaimana sekolah kebangsaan menjadi ejen untuk menyatukan perpaduan rakyat melalui organisasi pendidikan, faktor kejayaan sekolah kebangsaan dan sumbangan yang dimainkan oleh badan bukan kerajaan (NGO), termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Sebanyak tiga kertas kerja akan dibentangkan pada bahagian pertama itu yang membabitkan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Razali Ismail; Pensyarah Sejarah Universiti Malaya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim dan Pengurus Microsoft Malaysia Sdn. Bhd., Yasmin Mahmood.

Bahagian kedua pula membabitkan perkongsian pengalaman dalam usaha mencemerlangkan sekolah kebangsaan oleh guru besar, pengetua dan pengerusi PIBG serta kesiapsiagaan sekolah untuk menghadapi situasi kecemasan.

Pada bahagian ini, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) akan membentangkan satu kertas kerja mengenai program kesiapsiagaan sekolah dan rumusan daripada hasil pembentangan sepanjang seminar itu akan dibukukan.

Selain seminar, satu pameran mengenai kejayaan sekolah kebangsaan akan turut diadakan.

0 comments: