6 ahli silap mata berentap

Oleh Nor Azma Laila


TUNJUK BAKAT: 10 ahli silap mata dari Festival Silap Mata Antarabangsa Genting 2007 ketika berkunjung ke Balai Berita, semalam.

KUALA LUMPUR: Orang ramai, terutama peminat silap mata tidak seharusnya melepaskan peluang menonton kejohanan akhir silap mata yang menampilkan ahli silap mata hebat dari seluruh dunia di Genting International Showroom (GISR), Genting Highlands Resort Ahad ini.

Kejohanan yang juga sebahagian Festival Silap Mata Antarabangsa Genting 2007 yang bermula 16 November lalu akan menyaksikan seorang ahli silap mata dinobatkan juara berdasarkan undian penonton dan penilaian juri profesional.

Enam peserta berentap pada peringkat akhir untuk merebut hadiah wang tunai RM33,000 dan dinilai berdasarkan aspek kemahiran teknikal, personaliti, persembahan pentas dan keaslian silap mata.


Penolong Pengarah Jualan (Persembahan dan Acara), Resort World Berhad, Leonard Chua, berkata antara peserta ialah ahli silap mata dari China, Shen Juan yang juga satu-satunya peserta wanita.

Peserta lain ialah Danny Cole, Justin Flom dan Arthur Trace, semua dari Amerika Syarikat dan Derek Selinger serta Richard Forget dari Kanada.

Beliau berkata demikian ketika berkunjung ke Balai Berita semalam bersama rombongan 10 ahli silap mata dari festival berkenaan yang diketuai Presiden Perikatan Ahli Silap Mata Antarabangsa (IBM), Philip R Willmarth.

Leonard berkata, orang ramai yang berkunjung ke Genting Hihglands juga berpeluang menyaksikan persembahan enam ahli silap mata hebat (Champion Show) yang terdiri daripada juara dunia seperti Jeff Mcbride, James Dimmare, David dan Dania, Ed Alonzo, Ayala dan Tanya serta MagicWave bermula Jumaat hingga Ahad jam 5 petang dan 9 malam di Arena Of Stars.

Bengkel silap mata The Magic Workshop turut diadakan di Genting International Convention Center (GICC) bermula 16 November lalu hingga Ahad bagi memberi pengetahuan kepada mereka yang berminat.

Mereka yang berminat mendapatkan tiket boleh menghubungi Pusat Tempahan World di talian 03-2718 1118 atau melayari www.genting.com.my.

0 comments: