Aswami: Razak telefon penyiasat

Oleh AMIRUDDIN HARUN dan NORAZLITA MOHD. SIES


Aswami Fadillah Mohd. Ariffin.

SHAH ALAM 19 Nov. – Ketua Jabatan Digital Forensik Cybersecurity Malaysia hari ini mengemukakan rekod transaksi telefon bimbit antara Abdul Razak Abdullah Baginda, penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam dan pembantunya, K. Suras Kumar, tiga hari sebelum wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dilaporkan hilang.

Ketua Jabatan Digital Forensik itu, Aswami Fadillah Mohd. Ariffin, 36, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, mereka berkomunikasi menerusi panggilan suara berdasarkan daftar panggilan yang diterima dan panggilan keluar yang berjaya diekstrak daripada nombor telefon yang diberikan.

“Rekod bagi nombor Abdul Razak iaitu 0129042042 mencatatkan panggilan keluar dan masuk serta rekod khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar juga ada tetapi tiada rekod penerimaan SMS.

“Telefon bimbit Nokia 6280 bernombor 0123916082 juga milik Abdul Razak pula berbeza. Ini kerana tiada panggilan masuk bagi nombor tersebut dan yang ada hanyalah panggilan yang dibuat,” kata Aswami sambil beliau meneliti dokumen yang kini menjadi bahan bukti pihak pendakwaan.

Begitu juga dengan telefon bimbit Nokia 6600 bernombor 0122409311 yang direkodkan milik Balasubramaniam, kata Aswami, juga ada merekodkan panggilan masuk dan keluar.

Bagi telefon bimbit bernombor 0169939423 milik Suras Kumar (Suras) telah berkomunikasi melalui panggilan masuk dan keluar serta menghantar SMS tetapi tiada sebarang rekod penerimaan SMS tertera, ujar beliau ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Pendakwaan turut mengemukakan satu sampul surat berlabel Musa Mohd. Safri (G-9466) yang mengandungi telefon bimbit Nokia 7610 dan Nokia 6020. Musa seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Supritendan (DSP).

Aswami turut mengesahkan bahawa daftar log yang dikemukakan di mahkamah merekodkan dan mencakupi keseluruhan transaksi bagi tarikh 17 hingga 19 Oktober 2006 seperti yang diarahkan.

“Pegawai penyiasat memberikan nombor telefon bimbit dan mengarahkan supaya saya mengenal pasti transaksi (komunikasi) antara mereka,” katanya.

Saksi menambah, beliau juga pernah berhadapan dengan data yang diberikan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, tidak lengkap.

Diminta supaya menerangkan lebih lanjut apa yang dimaksudkan olehnya, Aswami memberikan contoh, misalnya nombor prabayar yang tidak mempunyai rekod panggilan masuk.

Oleh itu, menurut Aswami, beliau akan membuat pertanyaan kepada syarikat penyedia perkhidmatan berhubung rekod tersebut.

Aswami sekali lagi menegaskan bahawa rekod transaksi bagi tarikh 17 hingga 19 Oktober 2006 adalah lengkap.

Beliau ialah saksi pendakwa ke-52 memberikan keterangan pada perbicaraan kes bunuh Altantuya Shaariibuu, 28, yang masuk hari ke-59 hari ini. Perbicaraan didengar di hadapan Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin.

Dalam kes itu, Cif Inspektor Azilah Hadri, 31, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, didakwa membunuh wanita Mongolia itu di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh dibicara bersama penganalisis politik, Abdul Razak yang didakwa bersubahat dengan mereka melakukan pembunuhan tersebut di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara pukul 9.45 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Oktober tahun lalu.

Ketika saksi memberikan keterangan, ketiga-tiga tertuduh mendengar dengan teliti di samping membuat catatan dalam buku nota masing-masing.

Perbicaraan bersambung esok.

0 comments: