Dewan Rakyat: Polis perlu maklumat baru siasat kes Nurin

BIRO Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat gagal meningkatkan kualiti imej rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) kes penculikan dan pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin menyebabkan polis gagal mengesan suspek kes berkenaan.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharom, berkata sistem yang digunakan FBI gagal mengesan nombor pendaftaran motosikal yang dinaiki seorang lelaki yang dilihat dalam rakaman CCTV itu.

"Kita minta kerjasama FBI untuk membuat penilaian daripada gambar CCTV itu, namun masih tidak dapat kesan nombor plat motosikal berkenaan," katanya menjawab soalan Datuk Mohd Razali Che Mamat (BN-Kuala Krai) yang ingin mengetahui perkembangan siasatan polis kes Nurin Jazlin.

Nurin Jazlin, pelajar Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang ketika ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, 20 Ogos lalu.

Mayatnya ditemui disumbat dalam beg sukan yang ditinggalkan berhampiran pejabat sebuah syarikat penerbitan di Taman Petaling Utama, 17 September lalu.

Rakaman CCTV itu menunjukkan imej seorang lelaki menaiki motosikal jenis Modenas Kriss membawa sebuah beg sukan berlegar-legar di luar bangunan kedai tiga tingkat di Petaling Jaya pada 16 September lalu.

Lelaki itu kemudian mengangkat beg itu dari motosikalnya dan meninggalkannya di tepi tangga tingkat bawah premis itu sebelum beredar dari situ.

Mohd Johari berkata, polis masih meneruskan usaha mengesan lelaki berkenaan dan berharap orang ramai membantu memberi maklumat.

Menjawab soalan Mohd Razali mengenai tindakan terhadap ibu bapa yang mengabaikan anak mereka mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, beliau berkata kajian perlu dilakukan sebelum ibu bapa dikenakan tindakan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.

"Hanya kes tertentu boleh dikenakan tindakan. Bukannya semua kes kerana ia bergantung kepada kes dan mengikut suasana. Kita kena menguat kuasa undang-undang atau akta itu mengikut kebijaksanaan jika tidak ia mendatangkan kesan tidak baik," katanya.

0 comments: