Oleh Hassan Omar
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff (tengah) diiringi anggota polis ketika tiba di Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu, semalam untuk didakwa bagi pertuduhan menyalahgunakan kuasa. Ramli mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menyalahgunakan pesawat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk kepentingan peribadi, Jun lalu dengan mengarah dan menggunakan pesawat Cessna Caravan CE 208-9M-PSQ untuk membawanya dan dua orang awam. |
KOTA KINABALU: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menyalahgunakan pesawat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk kepentingan peribadi, Jun lalu.
Beliau yang sebelum ini menghadapi tiga tuduhan tidak mendedahkan maklumat sebenar harta dan saham miliknya serta menjadi pengarah syarikat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, kali ini didakwa mengarah dan menggunakan pesawat Cessna Caravan CE 208-9M-PSQ untuk membawanya dan dua orang awam meninjau dua lot tanah di Lahad Datu.
Ramli, 55, yang digantung tugas sejak awal bulan ini, mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Beliau yang juga bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, kelihatan tenang ketika tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Duncan Sikodol. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Badan Pencegah Rasuah (BPR) Putrajaya, Azlina Rasdi dan Nazrul Nizam Mohd Zamri, manakala Ramli diwakili peguam Mau Kam Peng.
Mengikut kertas pertuduhan, Ramli didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 7.50 pagi di Pangkalan Unit Udara Polis di Tanjung Aru di sini, 15 Jun lalu.
Arahan dan penggunaan pesawat itu bertujuan membawa beliau dan Datuk Muhamad Yasin serta Khalid Mohamad meninjau Lot PT 2003110300 dan PT 2003110332 di Ulu Tungku, Lahad Datu yang Syarikat Kinsajaya Sdn Bhd mempunyai kepentingan pelaburan. Ramli pula didakwa memiliki kepentingan dalam syarikat itu.
Ramli dituduh mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dipenjara antara dua minggu hingga 20 tahun dan denda RM10,000 mengikut Seksyen 16 akta yang sama. Sikodol menetapkan perbicaraan selama lima hari bermula 18 Februari depan.
Ramli yang memakai kot kelabu dan bertali leher merah, hadir ke mahkamah dengan ditemani isterinya, Datin Anita Harun, yang juga hakim Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur.
Pada prosiding yang berlangsung kira-kira setengah jam itu, Azlina memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan akan memanggil 30 saksi, manakala Mau mengemukakan tujuh saksi.
FAKTA PERTUDUHAN
0 comments:
Post a Comment