Tepung di Lembah Klang kehabisan stok

KUALA LUMPUR 19 Nov. – Peniaga kedai runcit di sekitar Lembah Klang kehabisan stok tepung gandum biasa yang dijual secara timbang ekoran bekalan terhad.

Kekurangan bekalan tersebut dipercayai berpunca daripada sikap pengguna yang lebih gemar membeli tepung timbang daripada tepung yang dibungkus.

Seorang peniaga yang dikenali sebagai Ali berkata, orang ramai lebih gemar membeli tepung biasa itu secara pukal untuk disimpan kerana bimbang bekalannya akan kehabisan.

Tambahnya, tepung gandum yang belum dibungkus itu pula dijual mengikut harga siling.

Berikutan kekurangan bekalan tepung di pasaran, para pengguna juga khuatir ia akan menyumbang kepada kenaikan harga barang makanan berasaskan tepung.

‘‘Bekalan tepung gandum masih boleh didapati tetapi pada kadar yang tidak menentu.

‘‘Secara umumnya bekalan tepung peket sekilogram masih boleh didapati, cuma tepung yang belum dibungkus semakin berkurangan akibat permintaan yang tinggi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Hanya tepung biasa yang dikawal dijual pada harga RM1.35 sekilogram manakala harga tepung yang diperkaya tidak dikawal.

Tinjauan di sebuah pasar raya di Bandar Sri Permaisuri, di sini mendapati ada juga tepung gandum peket seberat satu kilogram dijual pada harga RM2.35.

Rata-rata pengguna yang ditemui mulai risau kemungkinan berlaku krisis bekalan tepung seperti yang berlaku kepada bekalan gula tempoh hari.

Bagaimanapun tinjauan mendapati harga roti canai di restoran-restoran mamak masih dijual pada harga antara 70 sen dan 80 sen sekeping.

Sementara itu, harga roti bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang perubahan walaupun ia sudah dinaikkan antara 10 sen dan 30 sen awal bulan ini.

Pada 3 November lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal berkata, kenaikan harga roti itu tidak membebankan pengguna dan dianggap berpatutan kerana 70 peratus daripada kos kenaikan itu digunakan pengilang roti mengimport tepung yang diperkayakan.

Mulai 1 November lalu, dua syarikat pengeluar roti menjual roti bersaiz besar pada harga RM2.90 sebungkus meningkat 30 sen, manakala roti bersaiz kecil meningkat daripada RM1.80 kepada RM2.10.

0 comments: