Siti Salmah bersemangat duduki peperiksaan – Pengetua

KUALA LUMPUR 19 Nov. – ‘‘Sampai ke saat akhir pun, Siti Salmah Jasni bersemangat untuk menduduki peperiksaan. Kita tahu dia sudah bersedia tapi pembedahan adalah segala-galanya untuk dia meneruskan kehidupan,” kata Pengetua Sekolah Tengku Abdul Rahman Putra, Kulai, Johor, Kalthum Jeran.

Menurut pengetua itu, semua kakitangan dan pelajar sekolah tersebut risau dan mendoakan agar gadis yang menjalani pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru serentak pada 2 November lalu, kembali sihat dan dapat meneruskan pembelajarannya.

‘‘Sehingga hari ini, kami tetap adakan solat hajat dan bacaan surah Yasin untuknya selepas perhimpunan.

‘‘Risau. Saya anggap semua pelajar seperti anak sendiri dan perkembangan kesihatan selepas Siti Salmah menjalani pembedahan memang selalu diikuti,’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kisah Siti Salmah, pelajar tingkatan enam rendah yang menunggu sumbangan jantung dan paru-paru dipaparkan dalam Utusan Malaysia pada pertengahan bulan lalu.

Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan untuk membantunya mendapatkan organ baru sebagaimana yang diterima pesakit jantung, Tee Hui Yee, 14, yang selamat menjalani pembedahan pada awal bulan lepas.

Utusan Malaysia yang memetik sumber Institut Jantung Negara (IJN) hari ini melaporkan bahawa Siti Salmah menunjukkan perkembangan positif dan cuba melemparkan senyuman walaupun tiub bantuan pernafasan masih berselirat di badannya.

Menurut sumber itu, kesihatan gadis berkenaan semakin baik sejak dua hari lalu walaupun dia masih di bawah kawalan ubat pelali dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), IJN.

Dalam pada itu Kalthum turut mengakui pihaknya ada memberikan ‘keistimewaan’ untuk memudahkan pergerakan Siti Salmah di sekolah.

‘‘Kelasnya sentiasa diletakkan di sebelah pejabat. Malah tangki oksigennya juga turut disimpan di sini (pejabat).

‘‘Kita memang kecualikan Siti Salmah dari sebarang aktiviti luar walaupun dia sendiri kelihatan agak kecewa. Dia terpaksa akur demi kesihatannya sendiri,” ujarnya.

Kalthum turut mengakui perwatakan Siti Salmah yang agak pendiam tetapi sebenarnya aktif dan sangat mesra bila sudah mengenali seseorang.

‘‘Pihak sekolah ada membuat lawatan ke rumahnya apabila ibunya (Sabariah Mustaffa, 49,) memberitahu Siti Salmah akan ke IJN untuk menjalani pembedahan pemindahan jantung.

‘‘Masa itu kita nampak dia sihat sahaja walaupun kerap duduk dan mudah letih,” jelasnya.

Ketika ditanya tentang perkembangan terkini Siti Salmah yang mungkin diberitahu oleh ibunya, Kalthum berkata, dia menerima mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterimanya dua atau tiga hari sekali.

‘‘Ada. Ibunya ada menghantar SMS yang memaklumkan keadaan semasa Siti Salmah di IJN.

‘‘Tapi banyak daripada SMS itu meminta kami berdoa untuk kesihatan anaknya sekali gus dapat menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun depan,” ujarnya.

Siti Salmah menjalani pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru awal bulan ini selepas keluarga seorang wanita yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kedah bersetuju mendermakan semua organ dan tisu badan wanita berkenaan.

Namun, nasib Siti Salmah tidak seperti Hui Yee yang menunjukkan tanda-tanda pemulihan memberangsangkan, malah mencatatkan keputusan gred 1 A iaitu hampir tiada penolakan langsung pada sistem badannya dalam ujian biopsi selepas seminggu dibedah.

0 comments: