Oleh Veena Rusli
Pembangkang mahu perangkap Yang di-Pertuan Agong ke kancah politik mereka: PM
PENAMPANG: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tindakan parti pembangkang mendalangi perhimpunan dan perarakan haram dari Dataran Merdeka ke Istana Negara, di ibu negara kelmarin sebagai cubaan mengheret institusi beraja ke dalam kancah politik.
Perdana Menteri berkata, tindakan mereka menyerahkan memorandum berhubung beberapa tuntutan mengenai proses pilihan raya di Malaysia itu kepada Istana Negara, jelas satu cubaan memerangkap Yang di-Pertuan Agong untuk terbabit dalam agenda politik mereka.
Abdullah yang kesal dengan tindakan pihak terbabit dalam perhimpunan dan perarakan haram itu bagaimanapun yakin Yang di-Pertuan Agong lebih matang dan dapat memahami keadaan sebenarnya serta tidak akan terperangkap dengan politik pembangkang.
Diminta mengulas sama ada tindakan parti pembangkang mencemar kedaulatan institusi beraja dengan mengheretnya ke kancah politik, Abdullah berkata: "Tentu sekali... apabila bertindak begitu, mereka cuba mengheret atau memerangkap Yang di-Pertuan Agong dengan politik mereka".
Perdana Menteri berkata, perhimpunan dan perarakan haram itu juga sebenarnya gimik politik yang cuba dimainkan oleh parti pembangkang di dalam kerancakan pelbagai pihak meramalkan tarikh pilihan raya umum akan datang.
"Penganjuran demonstrasi seperti itu juga wajar dilihat sebagai tidak lebih daripada usaha pembangkang kononnya untuk menjuarai perjuangan masing-masing dalam meraih sokongan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-22 di sini, semalam.
Hadir sama ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Presiden PBS, Datuk Joseph Pairin Kitingan.
Perhimpunan anjuran parti pembangkang bersama 26 badan bukan kerajaan (NGO) petang kelmarin itu, bermula di Dataran Merdeka dan berakhir di luar Istana Negara dengan penyerahan memorandum yang didakwa mengandungi beberapa tuntutan berhubung proses pilihan raya di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dilaporkan berkata, polis menganggarkan 4,000 orang menyertai perhimpunan haram itu di sekitar Dataran Merdeka hingga ke Masjid Jamek tetapi mereka berjaya disuraikan menggunakan gas pemedih mata serta penyembur air.
Polis terpaksa menahan 245 orang yang menyertai perhimpunan dan perarakan haram itu selepas enggan mematuhi arahan supaya bersurai tetapi semuanya dibebaskan semula selepas keterangan mereka diambil.
Abdullah berpuas hati dengan kecekapan anggota polis mengawal perhimpunan haram itu, yang menurutnya satu tindakan tidak bermanfaat dan hanya menimbulkan bebanan kepada pelbagai pihak serta menyusahkan rakyat.
"Apabila polis mengawal keadaan, akan berlaku sekatan jalan raya dan pemeriksaan yang dengan sendirinya menyusahkan rakyat. Itu sebab saya kata perhimpunan haram seperti ini bukan menyenangkan tetapi menyusahkan dan ramai orang marah," katanya.
Abdullah berkata, sebenarnya tiada siapa selain pembangkang yang suka perkara seperti itu berlaku kerana ia menyusahkan selain menjadi bebanan kepada polis kerana perlu mengawal keadaan kerana ia tanggungjawab mereka.
0 comments:
Post a Comment