Suruhanjaya ditubuh -- Siasat kesahihan klip video atur pelantikan hakim – PM

Oleh Norila Daud

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Kerajaan hari ini mengumumkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat rakaman klip video yang dikatakan mengandungi perbualan telefon antara seorang peguam terkemuka dan seorang hakim kanan bagi mengatur pelantikan hakim di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, penubuhan suruhanjaya itu difikirkan wajar berdasarkan laporan panel khas bebas yang menyiasat kesahihan klip video itu baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pada waktu ini kerajaan cuma hendak menetapkan bidang tugas suruhanjaya tersebut.

‘‘Kita putuskan kita boleh tubuhkan suruhanjaya itu,’’ kata Abdullah kepada pemberita di sini petang ini selepas mengunjungi Presiden Uruguay, Dr. Tabare Vasquez dan isterinya Maria Auxiliadora Delgado de Vasquez yang sedang mengadakan lawatan ke Malaysia.

Perdana Menteri berkata, ketiga-tiga menteri yang dilantik oleh Kabinet untuk meneliti laporan panel khas yang menyiasat kesahihan klip video itu akan membentangkan pandangan dan saranan mereka dalam mesyuarat jemaah menteri Rabu depan.

Mereka terdiri daripada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Mengenai keanggotaan dalam Suruhanjaya Diraja itu, Abdullah memberitahu, ia hanya akan ditentukan selepas bidang tugas suruhanjaya itu ditetapkan.

Katanya, suruhanjaya itu akan ditubuhkan apabila tugas-tugasnya telah ditentukan dan selepas itu individu-individu terpilih akan dijemput untuk menganggotainya.

Mengenai bilangan keanggotaan suruhanjaya tersebut, Abdullah berkata: ‘‘Biarlah Kabinet putuskan.’’

Ditanya adakah kerajaan terdesak menubuhkan Suruhanjaya Diraja itu atas gesaan pihak tertentu, Abdullah menjelaskan: ‘‘Dahulu kita kata kita tunggu laporan (panel khas) itu dulu.

‘‘Setelah laporan dikeluarkan, berasaskan laporan itu kita lihat ada kewajaran untuk Suruhanjaya Diraja ditubuhkan.’’

Panel khas bebas yang ditubuhkan untuk menyiasat kesahihan klip video itu pada 25 September lalu dianggotai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd. Noor; aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar.

Mereka diberi tempoh kira-kira sebulan untuk menyiasat klip video itu dan telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan baru-baru ini. Saranan panel khas bebas itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Rabu lalu.

Kerajaan telah beberapa kali menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat isu-isu yang menjadi perhatian umum.

Antaranya penubuhan Suruhanjaya Diraja Penyiasatan Kebakaran Sekolah-Sekolah Agama pada 1996, Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes kecederaan Anwar Ibrahim ketika dalam tahanan polis pada 1999 serta Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM pada 2006.

0 comments: