Majikan tidak terlepas hukuman

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Kerajaan akan memastikan semua majikan yang didapati bersalah dalam kes melibatkan pekerja asing dikenakan hukuman setimpal, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sambil mengakui ada banyak kes sedemikian yang masih tertangguh di mahkamah, Timbalan Perdana Menteri menegaskan, kerajaan juga mahu kes itu diselesaikan dengan segera.

‘‘Banyak kes tersangkut di mahkamah kerana majikan guna peguam yang pintar. Jadi ada sikit kelambatan.

‘‘Pihak pemerintah (Malaysia) tidak suka keadaan ini. Majikan Malaysia yang buat salah pun dihukum dengan cepat,” katanya kepada sekumpulan wartawan Indonesia selepas melancarkan Yayasan CIMB di sini hari ini.

Yayasan tersebut menyumbangkan sebanyak RM1 juta kepada Bank Niaga bagi mengisi Dana Biasiswa CIMB NIAGA untuk membolehkan pelajar sekolah menengah Indonesia menuntut di negara ini.

Kumpulan wartawan itu yang dibawa oleh Kumpulan CIMB khusus untuk majlis pelancaran yayasan tersebut menggunakan peluang berkenaan untuk mendapat maklumat daripada Najib sendiri khususnya berkaitan kebajikan rakyat Indonesia yang bekerja di sini.

Najib berkata, menerusi penelitian semula undang-undang sedia ada berkaitan pekerja asing di negara ini, Malaysia mahu memastikan peraturan dari segi pengambilan pekerja dapat dilakukan dengan terurus dan lebih baik.

Beliau berkata, menerusi undang-undang baru itu, semua pihak sama ada majikan mahupun pekerja asing yang didapati melanggar peraturan Malaysia, akan dikenakan tindakan sewajarnya.

Kelmarin, Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho berkata, dengan adanya Akta Pekerja Asing yang akan digubal proses pengambilan pekerja dari luar negara akan menjadi lebih ketat dan pemantauan terhadap mereka dapat dilaksanakan dengan lebih rapi.

Ia antara lain dijangka mengetatkan pengambilan pekerja asing di samping memberi perlindungan kepada mereka yang masuk bekerja secara sah.

Najib ketika ditanya sama ada hari rehat selama sehari bagi pekerja asing diteruskan di bawah akta tersebut berkata, ia akan mengikut undang-undang buruh sedia ada.

0 comments: