Korporat perlu jaga alam sekitar

Oleh Habibah Omar

PUTRAJAYA 16 Nov. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tanggungjawab sosial sektor korporat tidak mencukupi dengan hanya menyumbangkan wang ringgit untuk kegiatan amal semata-mata.

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, sektor korporat perlu memastikan aktiviti perniagaan yang diusahakan oleh mereka tidak memberikan sebarang kesan kepada alam sekitar.

‘‘Saya percaya tanggungjawab sosial korporat tidak mencukupi dengan hanya menderma wang kepada badan amal dan anak yatim atau menderma komputer kepada sekolah.

‘‘Sebaliknya, ia bermaksud melihat kesan terhadap alam sekitar akibat aktiviti perniagaan mereka. Saya perlu menekankan bahawa segala usaha kerajaan dalam memelihara alam sekitar akan menjadi sia-sia sekiranya tidak mendapat sekongan daripada sektor awam dan swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis penyampaian Anugerah Bunga Raya Perdana Menteri 2006-2007 di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Anugerah Bunga Raya mengiktiraf inisiatif sektor korporat dalam melindungi alam sekitar termasuk melalui pelaksanaan sistem pengurusan bersepadu bagi memastikan perniagaan mereka tidak mencemari alam sekitar.

Pada majlis berkenaan, Petronas Penapisan Melaka Sdn. Bhd. diumumkan pemenang utama bagi kategori anugerah cemerlang dan turut diumumkan memenangi kategori sama ialah Shell MDS (M) Sdn. Bhd., Tex Cycle Sdn. Bhd. dan Intel Product (M) Sdn. Bhd.

Menurut Abdullah, kerajaan akan terus memainkan peranan dalam menguat kuasa undang-undang selain memelihara kepentingan awam.

‘‘Kerajaan telah lama komited dalam memelihara alam sekitar. Pada 1974, Akta Kualiti Alam Sekitar telah dibentangkan di Parlimen dan melalui akta berkenaan kita memastikan pemuliharaan alam sekitar dilaksanakan dengan ketat,’’ katanya.

0 comments: