Reaksi penubuhan Suruhanjaya Diraja

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Majlis Peguam mengalu-alukan keputusan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes klip video yang dikatakan mengandungi perbualan telefon antara seorang peguam terkemuka dan seorang hakim kanan bagi mengatur pelantikan hakim.

Presidennya, Ambiga Sreenevasan berkata, panel khas bebas yang ditubuhkan pada 25 September lalu tidak mempunyai kuasa penuh untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh mengenai kes tersebut.

Menurut beliau, anggota Suruhanjaya Diraja yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 mempunyai kuasa untuk memanggil saksi, mewajibkan kehadiran mereka dan menyediakan imuniti kepada saksi-saksi bagi memastikan keberkesanan siasatan kes tersebut.

“Dengan adanya Suruhanjaya Diraja, ahli-ahli suruhanjaya itu mempunyai kuasa menyeluruh untuk membuat siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Petang ini Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes klip video perbualan telefon tersebut.

Ambiga mencadangkan suruhanjaya itu menyiasat apa juga perkara yang menjadi bahan perbualan telefon seperti yang dirakamkan dalam video itu.

“Tidak sahaja ia menyiasat kesahihan pelantikan pada 2002 itu tetapi pelantikan-pelantikan yang dibuat sebelum dan selepas perbualan tersebut.

“Perbualan dalam klip video itu tentunya mempunyai implikasi tertentu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan seorang peguam, Pawan Cheek Marican berkata, Suruhanjaya Diraja itu perlu ditubuhkan untuk memberi keadilan kepada semua pihak.

“Suruhanjaya Diraja ini mempunyai kuasa yang lebih tinggi daripada panel bebas yang ditubuhkan sebelum ini.

“Ia mempunyai kuasa penuh memanggil semua saksi memberi keterangan dan mengemukakan bukti bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurut Pawan Chik, mereka yang dipanggil oleh suruhanjaya itu mesti hadir ketika pendengaran diadakan dan wajib mengemukakan segala bukti yang diminta untuk disiasat.

“Suruhanjaya ini adil untuk semua pihak. Mereka yang dipanggil memberi keterangan mempunyai hak melantik peguam mewakili dirinya,’’ kata beliau.

Jelasnya, setelah menyiasat semua bukti suruhanjaya itu akan menyerahkan hasil siasatan kepada kerajaan.

0 comments: