Pegawai lemah diminta bersara awal: MB Selangor

SHAH ALAM: Pegawai dan kakitangan awam di Selangor tidak akan menerima penyapu lagi tahun depan jika prestasi kerja mereka masih di takuk lama, sebaliknya mereka akan diminta bersara awal atau diberhentikan kerja.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, berkata Anugerah Penyapu yang diberikan Isnin lalu kepada Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor serta Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) sudah cukup untuk memberi amaran dan menyatakan kesungguhan kerajaan negeri untuk meningkatkan mutu sistem penyampaian di negeri itu.

Katanya, mesej itu sudah cukup jelas dan tiada sebab untuk kakitangan awam di negeri itu tidak mahu mengubah sikap.

"Kalau dah beri amaran jelas, mereka masih tidak berubah, bererti mereka tidak sayangkan pekerjaan.

"Kerajaan Selangor sudah memberi amaran jelas yang kita mengambil serius perkara ini," katanya pada sidang media selepas Melancarkan Dua Buku Edisi 2007, Diskusi Pak Lah - Mengenang 27 Tahun Kemerdekaan Negara Malaysia Kesinambungan Kepimpinan Cemerlang 50 Tahun Gemilang dan Bersama Jejak Juang Enam Menteri Besar Selangor di sini, semalam.

Dua buku itu hasil tulisan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Tan Sri Onn Ismail.

Dr Mohamad Khir berkata, walaupun tindakan menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) mungkin dianggap imbuhan kepada kakitangan dan pegawai yang tidak produktif, ia sebenarnya cara terbaik untuk 'menyingkirkan' kakitangan dan pegawai yang bermasalah.

Beliau berkata, tindakan memindahkan kakitangan dan pegawai yang tidak produktif ke jabatan atau bahagian lain atau 'disejuk beku' hanya akan menggembirakan mereka yang bermasalah atau membuat pengaduan di Jabatan Buruh.

Katanya, ketika ini antara 15 hingga 20 kakitangan dan pegawai bermasalah pada setiap PBT di Selangor sudah diberhentikan kerja kerana tidak produktif dan tidak mencapai tahap produktiviti minimum.

"Tahun depan, Kerajaan Selangor menetapkan 35 petunjuk dalam Kad Prestasi dan markah mereka ini akan dicampur untuk melihat pencapaian semua kakitangan.

Dalam pada itu, Dr Mohamad Khir, berkata bekas Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mislan Tugiu yang dinaikkan pangkat sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) sudah memberi penjelasan mengapa daerah itu gagal mencapai sasaran sehingga dianugerahkan Anugerah Penyapu.

"Mislan menjelaskan beliau sudah melaksanakan semua arahan yang dikeluarkan Kerajaan Selangor, namun arahan itu tidak diendahkan pegawai bawahan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Anugerah Penyapu itu bukan ditujukan kepada penerima tetapi semua kakitangan dan pegawai di agensi terbabit.

Mengenai kenyataan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang dilaporkan berkata kerajaan Selangor bertindak di luar bidang kuasa, Dr Mohamad Khir berkata, Artikel 9 Akta Kerajaan Tempatan menyebut kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk memberi arahan kepada PBT.

0 comments: