Amaran tarik permit jika naik tambang feri

Oleh Johari Ibrahim

ALOR STAR: Kerajaan negeri memberi amaran akan menarik balik permit pengusaha feri ke Langkawi jika mereka menaikkan tambang perkhidmatan itu berikutan keputusan kerajaan untuk menangguhkannya baru-baru ini.

Exco Pengangkutan negeri, Datuk Chong Itt Chew, berkata walaupun kerajaan memahami masalah kos yang dihadapi oleh pengusaha feri terbabit, mereka tidak boleh menaikkan tambang tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Saya dimaklumkan rancangan syarikat feri untuk menaikkan tambang (mulai Selasa ini), tetapi mereka tidak boleh berbuat demikian tanpa kebenaran Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Laut,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau berkata, pengusaha terbabit hanya mengundang masalah jika meneruskan hasrat menaikkan tambang mulai Selasa ini ketika ramai pelancong dijangka memasuki Langkawi sempena cuti sekolah dan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2007 yang bermula 4 Disember ini.

Chong mengulas hasrat enam syarikat feri yang menyediakan perkhidmatan ke Langkawi untuk menaikkan tambang sebanyak RM3 dari Kuala Perlis dan RM5 dari Kuala Kedah.

Pada 11 November lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, mengumumkan cadangan kenaikan tambang feri itu ditangguhkan sehingga tarikh yang belum ditentukan.


Chong berkata, syarikat feri juga tidak wajar menjadikan kerajaan negeri sebagai ‘tebusan’ sementara pihak berkuasa mencari jalan penyelesaian dalam isu itu.

Jurucakap syarikat feri itu, Wong Sie Kiong, berkata mereka tidak ada pilihan selain menaikkan tambang kerana tidak lagi mampu menanggung kenaikan kos operasi kerana peningkatan harga diesel.

“Kira-kira 80 peratus daripada kos operasi kami adalah untuk minyak diesel dan kami sudah merayu bantuan kepada pihak berkuasa termasuk membenarkan subsidi tetapi tidak mendapat perhatian.

“Kami berharap kementerian akan membantu tetapi sebaliknya berlaku,” katanya.

Dalam surat yang dihantar kepada pejabat akhbar ini, syarikat feri berkenaan yang menguruskan 60 feri bercadang menaikkan tambang RM3 bagi laluan Kuala Perlis-Langkawi dan RM5 bagi laluan Kuala Kedah-Langkawi.

Ketika ini, tambang orang dewasa bagi laluan Kuala Kedah-Langkawi ialah RM18 dan RM12 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.

0 comments: