Latar belakang keluarga bukan halangan prestasi

Oleh Hussain Said, Mohd Hamizar Hamid, Khairana Yasin, Suzianah Jiffar, Srihanasham Noordin, Norma Mullie, Omar Osman, Syed Ismail Syed Abu Bakar, Rashidi Karim, Asrol Awang, Raja Norain Hidayah dan Zatul Iffah Zolkiply

KUALA LUMPUR: Murid dari sekolah luar bandar di kalangan anak petani, nelayan dan Orang Asli di Pulau Pinang, Perak dan Pahang membuktikan latar belakang keluarga bukan penghalang untuk berjaya dalam akademik apabila mencatatkan prestasi cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Di GEORGETOWN, 17 murid Tahun Enam daripada keluarga berpendapatan rendah di Pulau Pinang turut disenaraikan antara 20 murid terbaik yang belajar di sekolah pedalaman dan penempatan nelayan di negeri berkenaan.

Malah, Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Jaya, Kepala Batas, yang majoriti muridnya di kalangan anak petani, nelayan dan keluarga kurang berkemampuan mencatatkan keputusan 100 peratus termasuk 17 daripada 44 calonnya memperoleh 5A.

Di IPOH, murid Orang Asli, Azlan a/l Uleh, 12, yang muncul sebagai murid cemerlang di kalangan masyarakat itu dalam peperiksaan UPSR 2007 menjadikan angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha sebagai idolanya.

Anak kepada pasangan Uleh a/l Bahpang dan Mah a/p Ahmad dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kinjang, Tapah memperoleh keputusan 4A dan 1B dalam UPSR yang diumumkan kelmarin.

Di KUANTAN, empat sekolah Orang Asli di Pahang mencapai prestasi cemerlang apabila menguasai semua mata pelajaran melebihi 40 peratus dalam UPSR yang diumumkan, kelmarin.

Pengarah Pelajaran Pahang, Abdul Aziz Abdul Latif, berkata enam murid Orang Asli mendapat keputusan 5A, tiga daripadanya dari sekolah Orang Asli manakala tiga dari sekolah harian biasa.

Di JOHOR BAHRU, pencapaian calon UPSR 2007 bagi negeri itu membanggakan apabila 5,265 pelajar mendapat A dalam semua mata pelajaran daripada 60,957 calon yang menduduki peperiksaan itu.

Pengarah Pelajaran Johor, Mokhy Saidon, berkata daripada jumlah calon yang mendapat semua A itu, 3,458 orang calon dari SK berbanding hanya 2,970 calon tahun lalu, selain itu, 1,688 calon dari sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) mendapat semua A berbanding 1,504 tahun lalu, manakala 119 lagi dari sekolah kebangsaan jenis Tamil (SJKT) berbanding 135 tahun lalu.

Di PUTRAJAYA, Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Putrajaya, Mohd Yusop Mohd Diah, berkata 704 calon atau 86.38 peratus daripada 815 calon UPSR lulus semua mata pelajaran dengan pencapaian sekurang-kurangnya peringkat C.

Katanya, 13.1 peratus atau 107 calon mendapat A dalam semua mata pelajaran dengan Sekolah Kebangsaan Putrajaya 1, Presint 8, mencatat keputusan terbaik 16.9 peratus atau 24 daripada 142 calon memperoleh 5A.

Di SUNGAI PETANI, 4,606 calon UPSR di Kedah atau 11.6 peratus daripada 40,032 calon berjaya mencapai keputusan A dalam semua subjek iaitu peningkatan tiga peratus berbanding tahun lalu.

Di PADANG BESAR, 706 calon daripada 4,808 murid yang menduduki UPSR 2007 di negeri ini mendapat kelulusan cemerlang peringkat A bagi semua mata pelajaran.

Di BAHAU, 20 daripada 2,269 calon UPSR dari Negeri Sembilan yang mendapat 5A tersenarai sebagai calon cemerlang peringkat kebangsaan.

Di KUALA LUMPUR, 2,553 atau 10.15 peratus daripada 25,161 calon di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR tahun ini.

Pengarah Jabatan Pelajaran WPKL, Mohd Radzi Abd Jabar, berkata daripada jumlah itu, 1,717 calon SK meningkat berbanding 1,689 tahun lalu, manakala 824 murid SJKC dan 12 lagi dari SJKT yang masing-masing memperoleh 7A, menurun berbanding 1,007 dan 14 tahun lalu.

Di KOTA KINABALU, Pengarah Pelajaran Sabah, Normah Gapoh, berkata prestasi keseluruhan peperiksaan UPSR di negeri itu meningkat 1.3 peratus kepada 45.72 peratus berbanding 44.4 peratus tahun lalu.

Di KUCHING, sejumlah 26,134 calon atau 58.08 peratus mencatat sekurang-kurangnya pencapaian peringkat C dalam semua mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan UPSR lalu.

Pengarah Jabatan Pelajaran Sarawak, Dr Julaihi Bujang berkata ini suatu peningkatan berbanding hanya 57.1 peratus atau 25,745 calon tahun lalu.

0 comments: