Muqharabbin kini jelajah India

NEW DELHI 16 Nov. – Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin yang dalam misi menjelajah tujuh benua dengan basikal kini berada di India selepas berkayuh hampir 8,000 kilometer.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu sudah separuh perjalanan untuk menamatkan misi Penjelajahan Ekstrem Merentasi Tujuh Benua yang meliputi 21 negara.

Beliau yang tiba dari Mesir bercadang menuju ke bandaraya pelancongan Agra di mana tersergamnya istana Taj Mahal.

“Saya bercadang untuk berbasikal ke utara, Delhi hingga Agra, Varanasi, Kolkata dan Chennai di selatan. Saya akan melalui jarak sejauh 3,000 km di India,” kata Muhamad Muqharabbin, 24, kepada Bernama di sini.

“Saya memilih India kerana banyak yang saya telah dengar mengenai negara ini dan saya mahu melihatnya sendiri. Untuk melihat bagaimana masyarajat Islam seperti di Lucknow (Uttar Pradesh) dan masyarakat Hindu di Varanasi tinggal.

“Tujuan utama penjelajahan saya ialah untuk mencari ilmu, untuk memahami cara hidup dan budaya orang lain disamping mempromosi Malaysia di tempat yang saya lalui,” katanya.

Selepas India, Qobin dijangka tiba di Australia seterusnya New Zealand sebelum ke Thailand, Laos, Vietnam, Korea Selatan, China dan Jepan yang memakan jarak sejauh 19,000 km.

“Saya telah berada di atas jalan selama 120 hari selepas meninggalkan Malaysia pada 12 Julai lepas dan saya dijangka menamatkan ekspedisi saya dalam bulan Mei tahun depan,” katanya.

Cuaca sejuk di utara India yang sudah melanda beberapa kawasan disertai jalan raya yang sesak bakal memberi cabaran kepada laluan anak muda kelahiran Kampung Kerinci, Kuala Lumpur ini.

Sebelum sampai di India, beliau telah melalui 11 negara bermula dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Switzerland, Itali, Jerman, Belgium, Belanda dan kemudian Turki, Syria dan Mesir.

Di India, Qobin dijangka berkayuh antara 80 dan 90 km sehari selama sebulan.

Di sepanjang penjelajahannya, beliau turut memungut derma bagi badan-badan kebajikan di Malaysia dan setakat ini RM17,000 telah dikumpulnya.

– Bernama

0 comments: