PM pantau projek pendidikan

Oleh Azrina Ahzan

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sentiasa memantau pelaksanaan projek pendidikan, khususnya Program Lonjakan Perdana Pendidikan Luar Bandar yang dilancarkan bersama peruntukan tambahan RM2.6 bilion Februari lalu, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, keprihatinan Perdana Menteri terhadap pendidikan luar bandar jelas ditunjukkan ketika beliau mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Badan Bertindak Pelaksanaan Negara (NITF) di Pejabat Perdana Menteri di sini, semalam.

Katanya, pada mesyuarat yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu, Kementerian Pelajaran diminta mengemukakan laporan semasa segala projek pembangunan di kawasan luar bandar, khususnya yang membabitkan peruntukan tambahan berkenaan.

"Pada mesyuarat tadi beliau menunjukkan sikap prihatinnya untuk mengetahui apa yang kita lakukan dengan peruntukan tambahan yang diluluskannya, terutama perkembangan projek yang dilaksanakan di kawasan luar bandar.

"Alhamdulillah laporan yang dibentangkan Ketua Setiausaha tadi menunjukkan kita mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan kejayaan beliau menduduki kerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) baru-baru ini.

Peruntukan tambahan RM2.6 bilion bagi meningkatkan taraf pendidikan sekolah luar bandar di seluruh negara yang akan memanfaatkan 2.2 juta pelajar itu diumumkan Abdullah ketika melancarkan program Lonjakan Perdana Pendidikan Luar Bandar di Pulau Bum Bum, Sabah, pada Februari lalu.

Penambahan itu menjadikan peruntukan keseluruhan kepada Kementerian Pelajaran berjumlah RM12.3 bilion, termasuk RM9.7 bilion yang diluluskan dalam RMK-9 tahun lalu.

Hishammuddin berkata, beliau juga berbangga kerana Kementerian Pelajaran dapat melaporkan kepada Abdullah dan Najib bahawa bilangan permohonan guru di luar bandar untuk bertukar ke bandar semakin berkurangan.

"Ini mungkin berkat kesungguhan kita untuk meningkatkan taraf hidup dan kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 guru dan pelajar dari seluruh negara, Hishammuddin berkata, pemilihan Malaysia menduduki kerusi Lembaga Eksekutif Unesco bukan kejayaan peribadi beliau, sebaliknya kejayaan semua pihak, khususnya warga Kementerian Pelajaran.

Pada majlis itu, Hishammuddin menerima cenderahati yang tertera sajak bertajuk "Wira Pendidikan Malaysia" hasil nukilan Megat Md Saleh Md Arshad.

Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Tengku Marsila Tengku Abdullah; kedua-dua timbalannya, Datuk Noh Omar dan Datuk Hon Choon Kim; Setiausaha Parlimen kementerian, P Komala Devi; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Md Dom dan Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang.

0 comments: