Oleh Azman Mahmood, Tuan Nazuri Tuan Ismail dan Rafidah Mat Ruzki
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan menghantar memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana kakitangan awam terasa dihina dan tersinggung dengan tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo memberi Anugerah Penyapu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu yang gagal memungut cukai yang disasarkan kerajaan negeri baru-baru ini.
Memorandum juga akan dihantar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Dr Mohamad Khir sendiri dan salinan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Presidennya, Omar Osman, berkata cadangan mengemukakan memorandum bantahan akan dibincang pada mesyuarat khas Majlis Tertinggi Cuepacs pada 29 November ini di Ibu Pejabat Cuepacs di sini.
Katanya, Cuepacs tersinggung dengan anugerah itu yang tidak sepatutnya berlaku kerana ia menghina kakitangan awam dan tidak sesuai dengan budaya Melayu.
“Kita berasa dihina. Jadi, kita akan hantar memorandum kepada Perdana Menteri.
Kita menerima banyak panggilan ahli Cuepacs, PBT seluruh negara, ahli akademik IPT dan anggota perkhidmatan awam kerajaan Selangor sendiri yang turut tersinggung dan meminta Cuepacs membuat bantahan rasmi.
“Bagi kita isu ini amat serius kerana membabitkan maruah kakitangan awam,” katanya kepada Berita Harian semalam.
Omar berkata, walaupun mahu menegur dan meningkatkan prestasi PBT dengan niat yang baik, Menteri Besar tidak sepatutnya meniru budaya asing yang mengadakan pelbagai anugerah termasuk anugerah berimej buruk.
Pengerusi Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) Kumpulan Sokongan, Lok Yim Pheng, pula berkata jika kerajaan negeri berasa ada sesuatu yang tidak baik dari segi pencapaian PBT, langkah yang sepatutnya diambil ialah mengenal pasti puncanya.
Katanya, dalam menangani masalah itu, semua pihak perlu bertanggungjawab mengatasinya, bukan melemahkan semangat pihak yang terbabit.
Sementara itu, Senator Datuk Dr Lee Chong Meng, berkata sebenarnya ramai menyifatkan anugerah itu lebih kepada penilaian negatif, tidak manis dan lebih kepada menjatuhkan maruah.
“Jika ada PBT tidak mampu mencapai sasaran kutipan cukai atau gagal memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk, pegawai dan kakitangannya perlu diberi kursus dan mencari jalan memperbaiki kelemahan itu.
Di SHAH ALAM, pakar psikologi dan aktivis masyarakat di Selangor, Dr Ibrahim Ghaffar berkata tindakan Dr Mohamad Khir memberikan penyapu adalah keterlaluan dan tidak secocok dengan budaya Melayu.
Beliau berkata penggunaan penyapu bertentangan budaya Melayu kerana ia dikaitkan dengan pembawa sial dan digunakan dalam perubatan tradisional khususnya untuk menghalau makhluk halus yang merasuk badan seseorang.
"Penyapu melambangkan sesuatu yang kotor dan sering diletakkan atau disorok supaya tidak dilihat tetamu. Anggapan ini tidak ada kaitan dengan agama kerana ia adalah budaya masyarakat Melayu sejak turun temurun," katanya yang enggan mengulas lanjut jika tindakan Dr Mohamad Khir itu sengaja untuk mencari publisiti.
Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula berkata, Dr Mohamad Khir tidak melanggar hukum syarak kerana pemberian penyapu tidak membawa maksud buruk.
Katanya, tindakan itu menjadi isu kerana disalah tafsir pihak tertentu berikutan budaya Melayu yang menganggap pemberian penyapu sebagai penghinaan dan pengusiran.
Pendapat beliau disokong Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar yang berkata, tindakan Dr Mohamad Khir itu berniat baik untuk memberi kesedaran kepada pihak terbabit termasuk penduduk di daerah itu supaya menunaikan tanggungjawab membayar cukai.
0 comments:
Post a Comment