KUALA LUMPUR 16 Nov. - Orang ramai harus berhenti menyertai peraduan ‘gores dan menang’ sebagai satu usaha membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna untuk membanteras kegiatan itu.
Menterinya, Datuk Mohd. Shafie Apdal berkata, rakyat harus menyedari kesan negatif akibat peraduan itu dan harus berhenti menyertainya.
‘‘Kami akan mengumumkan langkah baru untuk membendung kegiatan ini, namun kami memerlukan sokongan rakyat untuk menghapuskan gejala ini.
‘‘Ini kerana kami tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat berlesen. Jadi rakyat yang sepatutnya berhenti memberi galakan kepada peraduan itu,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan karnival ‘A French A-Fair’ di sini hari ini.
Shafie berkata, pengharaman peraduan ‘gores dan menang’ akan diumumkan secepat mungkin dan pihak yang terlibat dalam kegiatan haram itu bakal dikenakan tindakan undang-undang.
Mengenai dasar penggenapan syiling satu sen, beliau berkata, walaupun syiling satu sen tidak digunakan dalam pembayaran kaunter namun ia masih mempunyai nilai tersendiri.
0 comments:
Post a Comment