BEIJING 16 Nov. – Tokoh bahasa Prof. Dr. Awang Sariyan dilantik pemegang pertama Kerusi Melayu di Universiti Pengajian Asing Beijing (BSFU) mulai tahun depan.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed yang kini berada di China mengesahkan pelantikan itu ketika melawat BSFU semalam.
“Dr Awang dijangka tiba di Beijing Januari depan dan ini akan memantapkan hubungan BSFU dengan dunia akademik Malaysia serta membantu perkembangan Bahasa Melayu di China,” kata Mustapa.
BSFU yang ditubuhkan 66 tahun lepas adalah pusat utama pengajian bahasa asing di China dan telah memulakan kursus Bahasa Melayu sejak 1961 dan Pusat Pengajian Melayu pada 2005.
“Kami menunggu-nunggu pelantikan ini selama 10 tahun. BSFU membuat cadangan Kerusi Melayu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjawat Menteri Pendidikan Malaysia pada tahun 1996,” kata pengarah Pusat Pengajian Melayu Prof. Wu Zong Yu.
Dr Awang, yang dilahirkan di Pontian, Johor, pada Oktober 1953 dan kini professor di Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Malaya, akan bersama BSFU untuk tempoh dua tahun.
Pusat itu juga mempunyai seorang pakar dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Norshabihah Ahmad, dan 47 penuntut tempatan yang mempelajari kursus em\pat tahun sebelum dianugerahi ijazah pengajian Melayu.
Ketika di BSFU, Mustapa juga bertemu dengan kumpulan perintis 10 pelajar Malaysia yang ditempatkan di BSFU untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan bahasa China.
Pelajar-pelajar lepasan Tingkatan Lima itu, terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India yang belajar di sekolah Cina ketika di Malaysia, ditempatkan di BSFU selama lima tahun.
“Kami akan menambah 10 pelajar setiap tahun sehingga 50 pelajar. Mereka akan pulang dan mengajar bahasa Cina,” kata Mustapa.
0 comments:
Post a Comment