48,400 calon UPSR dapat A semua subjek

Oleh Syuhada Choo Abdullah

PUTRAJAYA: Seramai 48,400 atau 9.7 peratus calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini mendapat Gred A dalam semua mata pelajaran, meningkat 1.2 peratus berbanding tahun lalu.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata pencapaian itu amat membanggakan berbanding 42,029 calon atau 8.5 peratus yang mendapat Gred A dalam semua mata pelajaran tahun lalu dan 35,980 (7.3 peratus) pada 2005.

Daripada 48,400 calon terbabit, 38,769 dari sekolah kebangsaan (SK), 9,060 sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan 571 sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT). Tahun lalu, 31,716 calon SK mendapat Gred A dalam semua subjek, manakala SKJC (9,745) dan SJKT (568).

“Beberapa negeri juga mencapai prestasi membanggakan dengan Pulau Pinang, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur secara konsisten tiga tahun kebelakangan mencatat prestasi tinggi dari segi kuantiti serta kualiti.

“Perlis, Kedah dan Kelantan pula menunjukkan peningkatan prestasi yang tinggi,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam. Seramai 500,786 calon menduduki UPSR tahun ini dan keputusan peperiksaan itu dikeluarkan kelmarin.

Alimuddin berkata, 95.8 peratus atau 479,930 calon mencapai tahap penguasaan minimum dalam sekurang-kurang satu mata pelajaran, iaitu prestasi stabil berbanding 476,479 (96.0 peratus) tahun lalu dan 473,544 (95.8 peratus) pada 2005.

Sebanyak 85.7 peratus calon mendapat Gred A, B atau C dalam mata pelajaran Sains dan 85.3 peratus Matematik, masing-masing meningkat 1.4 peratus dan 1.0 peratus berbanding 84.3 peratus tahun lalu.

“Calon UPSR tahun ini bukan kumpulan yang mengikuti program pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Begitupun, 89,875 atau 18.0 peratus calon menjawab soalan Sains dan 51,760 calon (10.0 peratus) menjawab Matematik dalam dwibahasa.

“Ada juga calon menjawab keseluruhannya dalam bahasa Inggeris, iaitu 1,324 (0.3 peratus) bagi Sains dan 1,075 (0.2 peratus) lagi Matematik. Ini dapat dikenal pasti dalam jawapan kertas subjektif dan ia adalah satu perkembangan agak menarik serta membanggakan,” katanya.

Bagaimanapun, 20,856 atau 4.2 peratus calon gagal menguasai tahap pencapaian minimum atau memperoleh Gred D dan/atau E dalam semua mata pelajaran, berbanding 19,960 (4.0 peratus) tahun lalu dan 21,033 (4.2 peratus) pada 2005.

Seramai 5,012 calon (1.0 peratus) pula mencatat keputusan sangat lemah (Gred E) dalam semua mata pelajaran, berbanding 3,437 (0.7 peratus) dan 5,151 (1.0 peratus) pada 2005.

Sambil mengakui keadaan itu menggusarkan kementerian, Alimuddin berkata, pelbagai langkah sedang dan akan terus diambil untuk memperbaikinya, seperti pelaksanaan program pemulihan, intervensi awal, kelas tambahan serta penggunaan alat bantu mengajar berkesan.

“Namun, data menunjukkan prestasi keseluruhan calon adalah stabil bagi tiga tahun kebelakangan dari segi kuantiti atau kualiti, sekali gus membuktikan dakwaan kebocoran kertas soalan peperiksaan UPSR 2007 tidak benar.

“Pola taburan markah hampir sama untuk empat tahun kebelakangan juga menunjukkan tiada tanda berlaku kebocoran kertas soalan,” katanya.

Mengenai pencapaian sekolah luar bandar, beliau berkata, ada sekolah di pedalaman mencatat prestasi menggalakkan, termasuk SK To’ Eman, Nyabor, Betung, Sarawak dengan 17 daripada 27 calon sekolah itu mendapat 5A. Sekolah Orang Asli, Penan dan Barawan juga mencatat pencapaian menggalakkan.

Mengenai pemilihan pelajar terbaik UPSR 2007, Alimuddin berkata, mulai tahun ini ia ditentukan Jabatan Pelajaran negeri.

“Penentuan pelajar terbaik perlu mengambil kira pelbagai kriteria dan aspek lain, termasuk kokurikulum, keperibadian, sikap seperti menolong orang, rajin, membantu.

“Peperiksaan hanya salah satu ukuran kecemerlangan. Semua aspek pelajar perlu diambil kira selari matlamat pembangunan modal insan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu kecemerlangan holistik,” katanya.

0 comments: