Oleh HATA WAHARI
KUALA LUMPUR 16 Nov. – Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa pemimpin-pemimpin dunia, sekular dan agama menyertai usaha global bagi menentang sebarang percubaan Amerika Syarikat yang mahu melancarkan perang ke atas Iran.
Menurut bekas Perdana Menteri, walaupun Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menyatakan tidak ada bukti bahawa Iran melaksanakan program pembinaan senjata nuklear tetapi negara-negara yang cintakan peperangan menyatakan sebaliknya.
‘‘Adalah jelas mereka berbohong dan sekali lagi mereka mahukan sebab untuk melancarkan perang ke atas sebuah negara yang kaya dengan minyak yang juga sebuah negara Islam,’’ katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini
Ketua Pengarah IAEA, Mohamed El- Baradei pada 21 September lalu mengeluarkan kenyataan bahawa Iran bukan sebuah negara yang mampu memberi ancaman walaupun ‘dunia ketika ini resah’ dengan program nuklear negara itu.
Mohamed turut meminta pemimpin global untuk memberikan peluang kepada keamanan sambil menegaskan sehingga kini tiada sebarang bahan radioaktif tersembunyi atau tapak pengeluaran bawah tanah ditemui, kata beliau ketika diwawancara oleh sebuah televisyen Itali.
Dr. Mahathir memberitahu, Israel pula pada ketika ini menggesa agar Mohamed dipecat kerana melaporkan perkara yang benar mengenai keadaan di Iran.
Malahan Perdana Menteri Britain, Gordon Brown mengeluarkan kenyataan bahawa negara itu akan menyokong dan mengetuai perang ke atas Iran.
‘‘Presiden AS, George W. Bush dan Naib Presiden Dick Cheney juga menunjukkan kesediaan mereka untuk berperang,’’ katanya.
Sehubungan itu, usaha global untuk menghalang melancarkan peperangan ke atas Iran perlu dilaksanakan.
Menurutnya, langkah serupa juga perlu dilakukan bagi menghalang usaha melancarkan peperangan bagi menyelesaikan sebarang pertikaian antarabangsa pada masa depan.
‘‘Resolusi penyelesaian secara aman perlu dilaksanakan dalam menyelesaikan sebarang pertikaian.
‘‘Janganlah masyarakat dunia mengulangi berabad lamanya pembunuhan dan pembunuhan beramai-ramai melalui senjata pemusnah besar-besaran (WMD) terhadap mereka yang tidak berdosa,’’ katanya.
Dr. Mahathir menegaskan, peperangan adalah pembunuhan beramai-ramai.
Jelas beliau, peperangan merupakan tindakan tidak bertamadun dan kembali ke zaman gelap dengan pertikaian maruah diselesaikan melalui penggunaan senjata.
‘‘Adakah masyarakat dunia akan menyokong pembunuhan beramai-ramai mereka yang tidak bersalah kerana nafsu pemimpin yang laparkan darah seperti dalam Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua,’’ katanya.
0 comments:
Post a Comment