Rakyat mesti patuhi undang-undang: TPM

Oleh Abdul Halim Yusoff

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, rakyat mesti berpegang kepada undang-undang dan tidak menyertai perhimpunan haram yang boleh merebak ke tahap anarki hingga kerajaan terpaksa menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi mengekangnya.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak fikir perhimpunan haram, termasuk yang diadakan pada Sabtu lalu akan merebak dengan beberapa perhimpunan haram lagi hingga keadaan menjadi lebih buruk dan kerajaan terpaksa menggunakan ISA.

“Harapnya tidak kerana selagi orang ramai berpegang kepada undang-undang negara, kita akan dapat mengawal keadaan itu. Kita merayu kepada orang ramai supaya mereka hormati undang-undang dan jangan menyertai perhimpunan haram,” katanya menjawab soalan sama ada kerajaan akan menggunakan ISA bagi membendung perhimpunan haram.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran Yayasan CIMB, sebuah yayasan dengan sandaran dana terbesar di Malaysia setakat ini apabila Kumpulan CIMB mengumumkan sumbangan sebanyak RM100 juta untuk tempoh tiga tempoh akan datang.

Perhimpunan haram pada Sabtu lalu menarik perhatian pada peringkat antarabangsa kononnya rakyat Malaysia tiada wadah untuk bersuara.

Najib berkata, kerajaan akan laksanakan undang-undang dan polis juga akan menguatkuasakan undang-undang.

“Kita perlu tangani perkara seperti itu dengan cara yang boleh membuatkan rakyat sentiasa yakin kepada kerajaan. Jadi, apa saja yang mereka hendak buat di negara ini hendaklah sejajar dengan undang-undang.

“Jika tidak, kita akan jadi anarki dan kerajaan tidak akan membiarkan keadaan itu terjadi,” katanya

Najib berkata, adalah penting bagi kerajaan untuk melindungi kepentingan keseluruhan rakyat yang mahukan keamanan dan mahu tahu bahawa keselamatan negara adalah terkawal.

“Kita tidak boleh biarkan wujud ketidaktentuan dan ada orang mengeksploitasi keadaan itu hingga mencetuskan pergeseran kaum dan keadaan menjadi tidak terkawal,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, kerajaan akan memastikan semua majikan yang didapati bersalah dalam kes membabitkan pekerja asing dikenakan hukuman setimpal.

Sambil mengakui ada banyak kes sedemikian yang masih tertangguh di mahkamah, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mahu kes itu diselesaikan dengan segera.

“Banyak (kes) tersangkut di mahkamah... pihak majikan banyak guna peguam yang pintar. Jadi ada sikit kelewatan.

“Pihak pemerintah (Malaysia) tidak suka keadaan ini. Mereka mahu majikan Malaysia yang buat salah dihukum dengan cepat,” katanya kepada sekumpulan wartawan dari Indonesia yang membuat liputan pelancaran Yayasan CIMB.

Kumpulan wartawan itu yang dibawa dari republik itu oleh Kumpulan CIMB khusus untuk majlis pelancaran itu, menggunakan peluang berkenaan untuk mendapat maklumat daripada Najib sendiri khususnya berkaitan kebajikan rakyat negara mereka yang bekerja di sini.

Mengenai draf Akta Pekerja Asing yang sedang dirangka Malaysia, beliau berkata, ia membabitkan mengenai syarat pengambilan supaya lebih tersusun, tiada pihak yang mengambil kesempatan dan penguatkuasaan undang-undang terhadap majikan dan pekerja.

0 comments: