Pelajar parah diketuk tukul besi

MUAR 16 Nov. – Seorang murid perempuan cedera parah di kepala setelah diketuk dengan satu objek keras dipercayai tukul besi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali sewaktu menaiki motosikal bersama ibunya untuk ke sekolah di Jalan Haji Baki, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 7.15 pagi itu, mangsa yang berusia 11 tahun dan belajar di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di sini membonceng motosikal yang ditunggang ibunya dari rumah mereka di Taman Mas Ria untuk ke sekolah sebelum ditahan seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Muar, Pemangku Asisten Komisioner Mohammad Nasir Ramli berkata, sewaktu kejadian, pasangan anak beranak itu yang berada kira-kira 300 meter dari pintu pagar sekolah telah ditahan oleh seorang lelaki.

‘‘Sebaik sahaja ditahan, pasangan anak beranak itu ketakutan lalu cuba melarikan diri. Bagaimanapun lelaki itu mengejar murid sekolah itu sebelum mengetuk mangsa dengan objek keras dipercayai tukul besi.

‘‘Kanak-kanak itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, polis sedang mengesan suspek dipercayai lelaki berketurunan Melayu dan berusia 40-an.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di talian 06-9526222 bagi membantu siasatan.

0 comments: