Murid kembar tekad atasi keputusan adik

PUTRAJAYA: "Saya tekad mengatasi dia dalam PMR (Penilaian Menengah Rendah) nanti," kata Siti Bahirah Amir Haidi, 12, merujuk kepada pasangan kembarnya, Siti Bahiyah yang memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007.

Siti Bahirah yang hanya memperoleh 4A selepas mendapat B dalam mata pelajaran Sains, terkilan kerana mereka berdua mengikuti jadual belajar sama, termasuk mengulangkaji pelajaran pada waktu malam.

Namun dia yang bercita-cita menjadi wartawan bersyukur kerana keputusan itu lebih baik daripada ujian percubaan.

"Saya sebagai kakak sepatutnya mendapat keputusan lebih baik atau setidak-tidaknya menyamai keputusan Bahiyah...mungkin bukan kali ini," katanya ketika ditemui bersama adiknya di Sekolah Kebangsaan Putrajaya 1, Presint 8 di sini semalam.

Turut menemani pasangan kembar itu ialah Guru Besar sekolah itu, Rohayati Mansor.

Satu lagi pasangan kembar sekolah itu, Nurul Asyiqin dan Nurul Aishah Junaidi turut mencatatkan kejayaan cemerlang apabila masing-masing memperoleh 4A 1B.

Nurul Asyiqin yang bercita-cita menjadi saintis berkata, dia dan pasangan kembarnya memang berlumba-lumba mencapai keputusan terbaik dalam pelajaran.

"Kami tidak pernah iri hati antara satu sama lain dan sentiasa tolong menolong ketika mengulang kaji pelajaran di rumah pada waktu malam. Selain guru, ibu bapa banyak memberi perangsang untuk berusaha lebih gigih bagi mencapai kejayaan dalam pelajaran," katanya.

0 comments: