Suruhanjaya Diraja siasat klip video



PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat kunjungan perpisahan ke atas Presiden Uruguay, Dr Tabare Vazquez Rosas, di Kuala Lumpur, semalam. Vazquez dan isterinya, Maria Auxiliadora Delgado de Vasquez tiba Rabu lalu untuk lawatan rasmi lima hari ke Malaysia. Beliau mengetuai delegasi 50 orang, termasuk Menteri Kabinet dan ketua syarikat di negara itu.

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes klip video 'Lingam' yang didakwa mengandungi perbualan telefon antara seorang peguam terkemuka dengan seorang hakim kanan bagi mengatur pelantikan hakim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata penubuhan suruhanjaya itu difikirkan wajar berdasarkan laporan panel khas yang menyiasat kesahihan klip video itu, baru-baru ini.

"Soal penubuhan suruhanjaya itu sesuatu yang diputuskan boleh kita (kerajaan) tubuhkan. Pada waktu ini cuma kita hendak tetapkan bidang tugasnya.


"Kita nak tetapkan apakah tugas yang akan ditentukan untuk suruhanjaya ini," katanya selepas mengucapkan selamat jalan kepada Presiden Uruguay, Dr Tabare Vasquez dan isterinya, Maria Auxiliadora Delgado de Vasquez yang menamatkan lawatan dua harinya ke Malaysia, semalam.

Abdullah berkata, ketiga-tiga menteri yang dilantik Kabinet untuk meneliti dari segi perundangan laporan panel khas itu, akan membentangkan pandangan dan saranan mereka dalam mesyuarat jemaah menteri Rabu depan.

Katanya, anggota Suruhanjaya Diraja itu akan ditentukan selepas bidang tugas suruhanjaya berkenaan ditetapkan.

Ditanya sama ada kerajaan terdesak untuk menubuhkan suruhanjaya diraja selepas beberapa pihak menggesa ia ditubuhkan, Abdullah berkata, keputusan itu dibuat kerana ada kewajaran untuk menubuhkannya selepas meneliti laporan panel khas berkenaan.

"Dulu kita kata tunggu dulu supaya laporan (panel khas) itu (dikeluarkan). Laporan dah dikeluarkan maka berasaskan laporan itu kita tengok kewajaran. Nampaknya ada kewajaran menubuhkan Suruhanjaya Diraja. Maka kita tubuhkanlah," katanya.

Panel khas itu dianggotai bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor, aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar.

Tiga menteri diberi tugas meneliti laporan panel khas itu pula ialah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad. - Bernama

0 comments: