Malaysia garis persamaan di antara rumah api

THE HAGUE, Belanda 16 Nov. – Malaysia hari ini menggariskan persamaan di antara rumah api di Pulau Batu Putih dan Pulau Pisang bagi membuktikan kehadiran Singapura di kedua-dua pulau itu hanyalah sebagai pengendali rumah api di wilayah milik Johor.

Profesor Elihu Lauterpacht berhujah, kedua-dua rumah api itu adalah:

* Sebahagian daripada Sistem Rangkaian Rumah Api Negeri-Negeri Selat;

* Dikendalikan oleh Singapura sebagai sebahagian daripada Sistem Rangkaian Rumah Api Negeri-Negeri Selat walaupun ia tidak terletak di dalam wilayah republik itu;

* Dibina oleh British di atas sebahagian tanah milik Johor atas kebenaran kerajaan negeri itu.

Beliau memberitahu mahkamah, Singapura dalam hujah-hujahnya cuba menyembunyikan persamaan itu dengan menyebut bahawa setiap pulau mempunyai sejarah serta fakta yang berbeza.

Singapura juga, kata Lauterpacht, mendakwa bahawa Pulau Batu Putih dan Pulau Pisang tertakluk kepada rejim perundangan yang amat berbeza.

“Malaysia tidak mendakwa semua keadaan (di Pulau Batu batu Putih dan Pulau Pisang) adalah serupa.

“Tetapi Singapura tidak boleh meragui kenyataan bahawa dalam keadaan tertentu, kedudukannya adalah sama iaitu terdapat dua rumah api yang dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Pelabuhan Singapura dan kedua-duanya adalah di wilayah Johor.

“Ini jelas menggambarkan perbezaan kedaulatan di wilayah tersebut serta pentadbiran rumah api di situ,” hujah beliau di hadapan Naib Presiden Mahkamah Keadilan Antarabanga (ICJ), Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh serta 15 hakim lain di sini hari ini.

Selain persamaan, Lauterpacht menarik perhatian mahkamah mengenai perbezaan fizikal di antara kedua-dua pulau iaitu dari segi saiz Pulau Batu Putih adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan Pulau Pisang.

Sebab itu, hujah beliau, pengibaran bendera Singapura di Pulau Pisang menarik perhatian penduduk tempatan yang melihat tindakan tersebut sebagai cubaan republik itu untuk menunjukkan kedaulatan di atas sebidang tanah di wilayah Johor dan mahu ia (bendera itu) diturunkan.

Singapura dalam hujahnya membangkitkan tindakan Pergerakan Pemuda UMNO membantah tindakan republik itu mengibarkan bendera di Pulau Pisang tetapi tiada bantahan berhubungan pengibaran bendera marin Singapura di Pulau Batu Putih.

Sebaliknya, Lauterpacht berkata, pengibaran bendera di Rumah Api Horsburgh di Pulau Batu Putih dilihat sebagai tidak lebih daripada bertujuan menunjukkan rumah api itu dikendalikan oleh British.

“Ia sama seperti pengibaran bendera Malaysia di pangkalan tentera laut Malaysia di Woodland Singapura dan pengibaran bendera Britain di kawasan-kawasan pajakannya di Hong Kong,” katanya.

Katanya, rumah api di Pulau Pisang dibina di atas sekeping tanah yang diizinkan oleh kerajaan Johor kepada kerajaan Negeri-Negeri Selat.

– Utusan

0 comments: