THE HAGUE, Belanda 16 Nov. – Singapura gagal membuktikan ia mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge, rumus delegasi Malaysia pada hari terakhir pusingan pertama hujah lisan tuntutan bertindih ketiga-tiga pulau itu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini.
Profesor James Crawfurd berhujah, Singapura tidak pernah menyanggah kes Malaysia serta tidak pernah menuntut Pulau Batu Putih secara terbuka sebelum tahun 1978.
Katanya, bukti-bukti yang terkandung dalam Singapore Free Press, Perjanjian Crawfurd, Perjanjian Presgrave dan laporan J.T. Thomson jelas membuktikan pada bila-bila masa Pulau Batu Putih adalah milik Malaysia.
Beliau berkata, kes tuntutan bertindih itu berkisar kepada tiga persoalan utama iaitu Pulau Batu Putih bukan terra nullius (tidak berpenghuni dan tidak dimiliki oleh sesiapa); ia juga bukan di bawah pengaruh Belanda berdasarkan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824; dan ia sebahagian daripada Johor.
“Jika Pulau Batu Putih sebahagian daripada Johor pada 1847, berasaskan kepada alasan itu sahaja mahkamah mesti menerima bahawa kebenaran yang diberi oleh Johor (Sultan dan Temenggung) adalah untuk membina Rumah Api Horsburgh di pulau itu,” katanya di hadapan Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh dan 14 hakim lain.
Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad diberi empat hari untuk mengemukakan hujah-hujah lisan pada pusingan pertama.
Crawfurd berhujah, keseluruhan kes Singapura menjadi sia-sia jika seperti yang dibuktikan oleh Malaysia bahawa British membina rumah api di wilayah Johor dengan keizinan Johor.
Beliau berkata, Singapura secara panjang lebar menyentuh tentang tindakan Malaysia yang tidak menjalankan sebarang aktiviti di Pulau Batu Putih.
“Mengapa Malaysia perlu melakukannya? Sultan dan Temenggung telah membenarkan pembinaan dan pengurusan rumah api.
“Dan anda telah mendengar Ejen Malaysia (Abdul Kadir) berkata bahawa keizinan itu diteruskan dan akan berterusan. Kes ini bukan mengenai meneruskan pengurusan rumah api,” katanya.
Menurut Crawfurd, Malaysia mempertahankan bahawa ketiga-tiga bentuk maritim itu adalah miliknya dan semua peristiwa pada tahun 1978 hingga 1980 yang membawa kepada pertikaian tidak akan mengubah kedudukan itu.
Beliau menegaskan, tindak-tanduk Singapura selepas tarikh penting (1980) tidak relevan seperti yang ICJ pernah putuskan dalam kes Sipadan dan Ligitan.
Terdahulu, Profesor Marcelo G. Kohen dalam hujah-hujahnya berkata, Singapura gagal membuktikan bahawa semua tindak-tanduknya di Pulau Batu Putih menunjukkan ia mempunyai kedaulatan di situ.
Katanya, republik itu tidak dapat membuktikan bahawa Pulau Batu Putih adalah terra nullius, wujudnya niat British untuk memasukkan kedaulatannya di situ serta tindakan-tindakan yang menunjukkan ia mempunyai kedaulatan di pulau tersebut.
Sementara itu, Profesor Nico Schrijver berhujah, kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Batu Putih bukan sahaja terbukti menerusi tindak-tanduknya di pulau itu, malah turut diiktiraf oleh pihak ketiga iaitu Indonesia, Belanda dan United Kingdom. Malaysia menggunakan hak kedaulatannya di Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge dengan menandatangani pelbagai perjanjian dan kontrak dengan pihak yang berkaitan serta penggubalan undang-undang.
Beliau memberitahu mahkamah, ia termasuk Perjanjian Konsesi Minyak 1968, mengeluarkan peraturan menangkap ikan, melukis peta di perairan, mengukur kawasan marin dan menetapkan polisi-polisi di kawasan tersebut.
Schrijver menyenaraikan lima contoh Malaysia secara terbuka menunjukkan kedaulatan terhadap ketiga-tiga pulau dan bukannya berdiam diri seperti yang didakwa oleh Singapura.
Contoh-contoh tersebut termasuk Perjanjian Pelantar Minyak Indonesia-Malaysia 1969, Perjanjian Konsesi Minyak 1968 (yang jelas memasukkan ketiga-tiga pulau tanpa sebarang bantahan daripada Singapura), penerbitan peta-peta, pengeluaran polisi serta peraturan berhubung penangkapan.
Beliau menarik perhatian mengenai pengiktirafan pihak ketiga terhadap kedaultan Malaysia ke atas ketiga-tiga pulau itu sebelum tahun 1824 lagi.
Katanya, Belanda mengiktiraf kedaulatan kesultanan Johor ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rock dan South Ledge menerusi Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 serta peta rasmi Hindia Timur Belanda yang dikeluarkan pada tahun 1842 oleh G.F Von Derfelden Van Hinderstein.
– Utusan
0 comments:
Post a Comment