Masalah projek PTNP sejak mula

Oleh ABDUL RAZAK DIN


KECEWA... Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Tajol Rosli meninjau runtuhan bangunan milik Perbadanan Taman Negeri Perak yang ranap sama sekali di Tasik Banding, Gerik, semalam. Dalam lawatan itu, beliau menyatakan rasa kecewanya kerana bangunan itu runtuh begitu sahaja. Bangunan itu, katanya, tidak dirancang dengan baik sejak ia mula dibina dan menghadapi masalah reka bentuk. – Gambar HANAFI KHAMIS.

GERIK 16 Nov. – Kompleks Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) di Tasik Banding dekat sini yang runtuh Selasa lepas merupakan projek yang bermasalah sejak dari awal lagi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali berkata, projek itu tidak dirancang dengan baik sejak ia mula dibina dan menghadapi masalah reka bentuk.

Menurutnya, beliau memang tidak puas hati kerana bangunan yang mempunyai 14 bilik itu sememangnya tidak ekonomik untuk kemudahan pelancong dan tidak sesuai sebagai sebuah resort.

‘‘Sebenarnya sejak dari awal lagi pembinaan bangunan PTNP mengalami pelbagai masalah walaupun usaha-usaha dilakukan untuk mengurangkan risiko pembinaan bangunan ini,’’ katanya

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melawat lokasi bangunan PTNP yang runtuh di Tasik Banding di sini hari ini.

Bangunan yang hampir siap itu runtuh Selasa lalu dipercayai disebabkan kerosakan pada strukturnya.

Mohd. Tajol Rosli berkata, beliau juga berasa kecewa kerana bangunan itu runtuh begitu sahaja.

‘‘Bangunan kerajaan selalunya tidak mempunyai insurans. Saya anggap bangunan PTNP macam rumah saya juga.

‘‘Apa yang terjadi kepada bangunan ini seperti runtuhnya rumah yang kita bina, jadi apa saya nak jawab kepada kerajaan Persekutuan yang memberikan peruntukan ini,’’ katanya.

Untuk itu, beliau menyarankan dalam fasa kedua pembangunan PTNP, 28 bilik boleh dibina dengan kos yang sama supaya ia lebih ekonomik.

‘‘Contohnya kita buat dewan untuk 25 orang, ia hanya boleh dijadikan tempat buat mesyuarat. Untuk buat seminar atau lain-lain kegiatan ia tidak boleh dilaksanakan,’’ katanya.

Ketika ditanya sama ada tapak bangunan baru PTNP di Tasik Banding akan dipindahkan ke lokasi lain berikutan kejadian runtuh itu, beliau berkata, ia bergantung kepada kajian yang dibuat oleh perunding kejuruteraan.

0 comments: