48,400 murid dapat 5A dalam UPSR

PUTRAJAYA 16 Nov. – Sebanyak 48,400 atau 9.7 peratus daripada 500,786 calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini memperoleh Gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, keputusan itu adalah lebih baik berbanding 42,029 (8.5 peratus) calon yang mendapat semua Gred A pada tahun lepas dan 35,980 (7.3 peratus) pada tahun 2005.

Beliau berkata, kumpulan yang menduduki peperiksaan UPSR tahun ini bukan daripada kumpulan yang mengikuti program pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Menurutnya, calon Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang memperoleh Gred A bagi semua mata pelajaran ialah 9,060 orang berbanding 9,745 pada tahun lepas dan 7,700 pada tahun sebelumnya.

Bagi calon Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil pula, seramai 571 orang memperoleh semua Gred A berbanding 568 pada tahun lalu dan 517 pada tahun sebelumnya.

‘‘Apa yang menarik dalam UPSR tahun ini ialah terdapat 89,875 atau 18 peratus calon menjawab soalan kertas Sains dan 51,760 (10 peratus) menjawab kertas Matematik dalam dwibahasa.

‘‘Terdapat juga calon yang menjawab keseluruhannya dalam bahasa Inggeris iaitu seramai 1,324 (0.3 peratus) bagi Sains dan 1,075 (0.2 peratus) bagi Matematik,” katanya pada sidang akhbar mengumumkan analisis keputusan UPSR 2007 di sini hari ini.

Ditanya mengenai ketiadaan pengumuman pelajar cemerlang pada tahun ini, Alimuddin berkata, kecemerlangan dalam akademik bukan menjadi kriteria utama untuk diiktiraf sebagai yang terbaik.

Menurutnya, keperibadian, tingkah laku seperti suka menolong dan mudah membantu ialah antara kriteria yang dititikberatkan untuk dipilih sebagai pelajar cemerlang.

‘‘Pihak kementerian telah menyalurkan maklumat mengenai pelajar yang cemerlang akademik kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) untuk menentukan pelajar cemerlang masing-masing,” katanya.

Menurut Alimuddin, Terengganu, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menunjukkan prestasi tinggi dari segi kuantiti dan kualiti sementara calon-calon UPSR dari Perlis, Kedah dan Kelantan pula menunjukkan peningkatan prestasi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Beliau menambah, data menunjukkan prestasi keseluruhan calon UPSR dalam tiga tahun kebelakangan ini adalah stabil sama ada dari segi kuantiti atau kualiti.

‘‘Hal ini membuktikan dakwaan terdapat kebocoran kertas soalan peperiksaan UPSR pada tahun ini adalah tidak benar. Taburan markah yang hampir sama untuk empat tahun kebelakangan ini juga menunjukkan tiada tanda kebocoran kertas soalan peperiksaan,” katanya.

0 comments: