‘RM9.5j bina PTNP tak masuk akal’

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar

GRIK: “Tidak masuk akal bangunan dengan 14 bilik penginapan menelan kos RM9.5 juta,” kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali, mengenai kos keseluruhan bangunan Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) di Pulau Banding dekat sini yang runtuh, Selasa lalu.

Tajol Rosli berkata, secara peribadi beliau kecewa dengan pelaksanaan projek itu daripada awal lagi kerana beranggapan bangunan itu tidak berdaya maju dari segi ekonomi.

Sambil memberi contoh, beliau berkata, pemaju tempatan akan membina sebuah hotel enam bintang dengan 105 bilik dengan kos RM11 juta di Pulau Besar, Tasik Banding.

Katanya, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah juga kecewa kejadian bangunan runtuh itu kerana semua perbelanjaan terbuang begitu saja.

“Pembinaan fasa satu bangunan dua tingkat ini dengan kos RM4.5 juta memang tidak masuk akal kerana hanya ada 14 bilik. Tidak ekonomik untuk perniagaan resort.

“Bagi pembinaan fasa kedua dengan kos RM5 juta, saya meminta mereka menambah bilik penginapan selain kemudahan lain.

“Bahkan, pemaju MK Land selepas mengambil alih Resort Tasik Banding yang mempunyai 27 bilik, mereka mengubah suai dengan menambah bilik menjadi 120 bilik,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak runtuhan bangunan itu dekat sini, semalam.

Pembiayaan bangunan itu bermula pada 2004 menerusi peruntukan Kementerian Pelancongan bagi meningkatkan infrastruktur di Hutan Royal Belum.

Tajol Rosli berkata, lokasi asal Bangunan Perbadanan Taman Negeri Perak dicadang Jabatan Kerja Raya (JKR) ialah tepi bukit di depan pintu masuk Kem Seri Banding, kira-kira satu kilometer dari tempat runtuhan.

Beliau berkata, lokasi asal ditukar ke pinggir Tasik Banding dengan alasan memudahkan pemantauan jeti awam, kira-kira 200 meter dari tapak bangunan yang ranap itu.

“Lokasi asal itu kini diberikan kepada pemaju tempatan yang sedang membina hotel enam bintang dengan 105 bilik pada kos RM11 juta,” katanya.

Tajol Rosli berkata, kerosakan struktur bangunan itu dikatakan mula dikesan pada 29 September lalu ketika Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim dan Exco Pelancongan, Datuk Mohd Radzi Manan melawat bangunan bersama pegawai JKR.

“JKR mengesan ada cerucuk terdedah kerana hakisan dan mencadangkan kerja pengukuhan cerun bangunan.

“Kerajaan negeri melantik Excel Engineering and Construction untuk menjalankan kajian, membaik pulih cerun dan mengelakkan hakisan.

“Kita sudah menerima bantuan kecemasan RM1.5 juta daripada Kementerian Kewangan untuk membaik pulih bangunan ini, tetapi pada 10 November lalu, sayap kanan yang menempatkan bilik penginapan mula runtuh sebelum keseluruhan bangunan ranap, Selasa lalu,” katanya.

0 comments: