Najib lancar Yayasan CIMB

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Kumpulan CIMB hari ini melancarkan Yayasan CIMB yang merupakan yayasan terbesar di negara ini dengan dana bernilai RM100 juta.

Yayasan itu yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Carcosa Negara di sini bertujuan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Nazir Tun Razak ketika berucap pada majlis itu berkata, peruntukan yayasan itu akan disalurkan kepada tiga bidang pembangunan iaitu komuniti, sukan dan pendidikan.

Menurutnya, CSR bukan sekadar memberi sumbangan tetapi ia perlu difokuskan dan dikekalkan agar dapat memberi impak kepada masyarakat.

Hadir sama ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan CIMB, Tan Sri Siti Norma Yaakob dan Pemangku Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tatang Razak.

Siti Norma berkata, yayasan itu amat komited melatih dan menaja aktiviti sukan bagi mencungkil bakat baru bertaraf juara dunia di peringkat awal.

Tambahnya, projek pertama yayasan itu yang melibatkan pendidikan ialah dengan menaja pelajar Indonesia yang terpilih belajar di institusi pendidikan di negara ini.

Kumpulan CIMB adalah pemegang saham terbesar dalam PT Bank Niaga di Indonesia.

Pada majlis itu, Siti Norma turut menyampaikan sumbangan kepada Dana Biasiswa CIMB Niaga sebanyak RM1 juta, Persatuan Skuasy Raket Malaysia (RM2 juta) dan Rumah Penyayang Tun Abdul Razak (RM500,000).

0 comments: