Pahang mohon RM900.15j untuk bajet 2008

Laporan Sariha Mohd Ali

KUANTAN: Kerajaan Pahang memohon peruntukan RM900.15 juta untuk perbelanjaan 2008 iaitu RM517.41 juta bagi perbelanjaan mengurus dan RM382.74 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

Bajet 2008 di Pahang itu terus mengalami defisit sebanyak RM50.36 juta iaitu meningkat RM37.92 juta berbanding defisit 2007 sebanyak RM12.44 juta, berikutan tanggungan perbelanjaan khasnya belanja mengurus meningkat lebih tinggi berbanding pendapatan kerajaan negeri.

Antara lain, Kerajaan Pahang perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan RM4 juta sebulan untuk membayar gaji kakitangan berikutan kenaikan gaji baru-baru ini, menjadikan jumlah bayaran dikeluarkan RM17 juta sebulan berbanding RM13 juta sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata Pahang dijangka mampu menambah kutipan hasil RM24.77 juta kepada RM467.04 juta tahun depan, berbanding anggaran hasil RM442.27 juta tahun ini.

Beliau berkata, sumber utama kerajaan negeri masih tertumpu kepada hasil tanah dan galian RM170.38 juta yang menyumbang kepada 36.48 peratus hasil negeri, diikuti sumber air RM98.63 juta, perhutanan (RM88.64 juta), pemberian Kerajaan Pusat (RM60.37 juta) dan RM49.07 juta sumbangan hasil lain.

"Strategi Bajet Pahang 2008 adalah untuk memperkemas, memperkukuh dan meningkat keupayaan jentera pelaksanaan supaya perkhidmatan kepada rakyat lebih cemerlang dan semua program pembangunan untuk keselesaan dan peningkatan kualiti hidup rakyat berjalan lancar.

"Jadi struktur jentera pelaksanaan akar umbi akan ditambah nilai melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), selain menambah kakitangan teknikal di pejabat tanah dan daerah di seluruh Pahang," katanya ketika membentangkan Bajet Pahang 2008 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini semalam.

Adnan berkata, daripada peruntukan RM900.15 juta yang dimohon itu, sebanyak RM517.41 juta dicadang untuk perbelanjaan mengurus termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan dan Perbekalan Air berjumlah RM109.29 juta.

Peruntukan perbelanjaan mengurus meningkat RM62.69 juta berbanding tahun ini berikutan pelarasan gaji dan elaun kakitangan awan serta pertambahan jawatan baru berjumlah RM53.08 juta.

"Perbelanjaan pembangunan pula menurun daripada RM430.34 juta pada 2007 kepada RM382.74 juta pada 2008 berikutan peruntukan projek pembangunan daripada sumber pinjaman hanya diperoleh RM200 juta berbanding RM273.35 juta pada 2007.

"Tetapi projek pembangunan dibiayai kerajaan negeri bertambah daripada RM157 juta pada 2007 kepada RM182.74 juta pada 2008 dan antara yang diberi keutamaan adalah projek sambungan dan melengkapkan infrastruktur di beberapa kawasan untuk menyokong pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)," katanya.

0 comments: