Seri Paduka kesal perhimpunan haram

Oleh Amirullah Andi Nur

Istana Negara tak pernah sokong kegiatan menyalahi undang-undang

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Istana Negara tidak pernah memperkenankan atau menyokong mana-mana pihak yang menganjurkan atau terbabit dalam perhimpunan haram di ibu negara, 10 November lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hasan, menegaskan Seri Paduka kesal kerana beberapa pihak tertentu mendakwa perhimpunan haram itu mendapat perkenan dan sokongan baginda serta Istana Negara.


"Sesungguhnya Seri Paduka amat kesal dengan perhimpunan haram yang diadakan itu, lebih-lebih lagi kerana ada dakwaan daripada beberapa pihak tertentu bahawa Tuanku dan Istana Negara memperkenankan serta menyokong perhimpunan haram itu.

"Seri Paduka ingin menegaskan bahawa baginda dan Istana Negara tidak pernah pada bila-bila masa memperkenankan atau memberikan apa-apa sokongan, secara langsung atau tidak langsung, kepada mana-mana pihak yang menganjurkan atau terbabit dalam perhimpunan haram itu dan apa juga kegiatan lain yang menyalahi undang-undang," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kenyataan yang dikeluarkan atas titah Yang di-Pertuan Agong itu, merujuk perhimpunan haram di ibu negara 10 November lalu dan memorandum yang dikemukakan kepada Istana Negara pada hari sama oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang didalangi beberapa parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO).


Sebelum itu, Wan Mohd Safiain mengadakan sidang media di Istana Negara, bagi menjelaskan mengenai kenyataan berkenaan. Hadir sama ialah Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Mohd Zuki Ali.

Ini adalah kali pertama Istana Negara mengadakan sidang media bagi memperjelaskan mengenai sesuatu isu.

Isnin lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaffar, dalam satu kenyataan mendakwa, gabungan itu mengambil keputusan menyerahkan memorandum berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong selepas Seri Paduka sendiri memberikan perkenan.

Tindakan pembangkang itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyifatkannya sebagai cubaan mengheret institusi raja, terutama Yang di-Pertuan Agong, ke kancah politik.

Wan Mohd Safiain dalam kenyataan tiga halaman itu berkata, sebagai ketua utama negara, tanggungjawab Seri Paduka adalah untuk memastikan sistem pentadbiran negara berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sentiasa dihormati dan dipatuhi semua.

Beliau berkata, Seri Paduka berharap rakyat tidak membabitkan diri dalam sebarang kegiatan atau tindakan yang menyalahi atau bertentangan dengan undang-undang.

"Sesungguhnya setiap rakyat bertanggungjawab untuk memelihara ketenteraman awam demi menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.

"Seri Paduka berharap agar rakyat dapat bersama-sama mengekalkan semangat persaudaraan dan perpaduan demi membina negara yang lebih makmur, bersatu padu dan dihormati," katanya.

0 comments: