Peruntukan pendidikan ditambah – Hishammuddin

Oleh Norliza Abd. Rahman

PUTRAJAYA 16 Nov. – Kerajaan akan menambah peruntukan bagi merapatkan jurang pendidikan antara pelajar di bandar dan luar bandar seperti yang terkandung dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, peruntukan sedia ada sebanyak RM2.6 bilion itu akan ditambah jika kementeriannya dapat mencapai paras siling yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi merealisasikan hasrat tersebut.

‘‘Perkara ini telah dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Pelaksanaan Negara (NITF) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini,” katanya.

Hishammuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis meraikan kejayaannya menduduki kerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNECSO), di sini hari ini.

Dalam mesyuarat yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu Hishammuddin turut memaklumkan mengenai keperluan untuk menaik taraf sekolah-sekolah di luar bandar.

‘‘Kita maklumkan mengenai perkakasan yang diperlukan oleh sekolah pedalaman seperti buku dan komputer. Makanan berzat juga mesti ditambah supaya jurangnya sama rata dengan di bandar.

‘‘Saya tengok kemahuan politik daripada pucuk pimpinan dalam konteks pendidikan pembangunan modal insan ini sememangnya tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak,” katanya.

Hishammuddin menambah, pencapaian kementerian untuk menggerakkan peruntukan RM2.6 bilion yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri semasa merasmikan program lonjakan perdana merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar di Pulau Bum Bum, Sabah Februari lalu, adalah mengikut jadual ditetapkan.

Menurutnya lagi, kad laporan mengenai prestasi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk maklumat awam juga boleh dibaca oleh orang ramai.

‘‘Tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan daripada orang ramai dalam pembangunan infrastruktur, penggubalan dasar baru dan penambahbaikan dasar sedia ada, laporan mengenai program yang dilaksanakan dan pencapaian sejak PIPP dilancarkan,’’ katanya.

0 comments: