IPOH: Murid Orang Asli, Azlan a/l Uleh, 12, yang muncul sebagai murid cemerlang di kalangan masyarakat itu dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007 di negeri ini, menjadikan angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha sebagai idolanya.
Anak kepada pasangan Uleh a/l Bahpang dan Mah a/p Ahmad ini memperoleh keputusan 4A dan 1B dalam UPSR diumumkan kelmarin.
Hadir di kalangan masyarakat Orang Asli tidak menghalangnya untuk mencatatkan keputusan yang cemerlang walaupun hidup dalam serba kekurangan berbanding rakan lain.
"Sejak lahir saya tinggal berjauhan dengan keluarga kerana saya dibesarkan oleh ibu saudara di Lata Kinjang, Tapah, manakala keluarga saya tinggal di Pengkalan Hulu.
"Ibu saudara saya seorang yang tegas dan saya tidak berani untuk ponteng sekolah kerana bimbang dimarahi.
"Kini, saya berterima kasih kepadanya (ibu saudara) kerana tanpa ketegasan dan keprihatinannya tidak mungkin saya akan mendapat keputusan yang cemerlang ini," kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kinjang, Tapah.
Azlan memperoleh gred A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman, Bahasa Melayu Penulisan, Matematik dan Sains manakala gred B bagi Bahasa Inggeris.
"Saya juga aktif dalam aktiviti kokurikulum dan mewakili daerah Batang Padang dalam sukan bola baling dalam pertandingan sukan Orang Asli baru-baru ini," katanya.
0 comments:
Post a Comment