Saintis UM raih anugerah antarabangsa

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Penyelidikan menghasilkan batu-bata daripada bahan terbuang oleh saintis dari Universiti Malaya (UM) berjaya meraih anugerah Pingat Diamond-Natural Earth Award.

Majlis penganugerahan itu dilakukan pada pameran British Invention Show (BIS) 2007 di London pada 17 hingga 20 Oktober lalu.

Anugerah tertinggi pameran itu diberikan kepada saintis penyelidikan tersebut, Asrul Mahjuddin Ressang Aminuddin dan Prof. Madya Sreenivasaiah Purushothama Rao, sekali gus menjadi penerima pertama bukan warganegara Britain yang dianugerahkan pingat tersebut.

Menurut Asrul Mahjuddin Ressang, penyelidikan yang diberi nama Sandwich Brick itu menggunakan bahan terbuang seperti plastik, kaca, asbestos dan bahan sisa lain bagi menggantikan komponen utama iaitu pasir untuk menghasilkan batu-bata.

“Ia sekali gus dapat dijadikan sebagai salah satu alternatif penyelesaian masalah lambakan sisa di negara ini yang kini mencecah sehingga 15,000 tan setahun dengan menukarkannya kepada produk yang boleh digunapakai,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman kejayaan saintis UM di pameran BIS 2007 di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademi dan Antarabangsa) UM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Amin Jalaludin dan Pengarah Institut Pengurusan, Penyelidikan dan Perundingan UM, Prof. Dr. Nik Meran Nik Sulaiman.

Pada pameran yang sama, UM yang menghantar lapan penyelidikan berjaya menerima tujuh pingat emas serta satu perak termasuk anugerah khas Double Gold (Special Award for Industry) yang diberikan kepada penyelidikan teknologi bioseramik sintetik untuk implan tulang.

Tambah Asrul Mahjuddin Ressang, penyelidikannya yang dimulakan kira-kira dua tahun lalu itu menjadikan kemusnahan harta benda di Indonesia, Sri Lanka dan Thailand akibat bencana tsunami sebagai asas penyelidikan.

Katanya, bencana tsunami yang turut meninggalkan lambakan sampah sarap itu memerlukan satu sistem pengurusan bijak bagi memastikan ia tidak terus mencemarkan alam sekitar.

‘‘Justeru, pasukan penyelidikan kami menjalankan kajian bagi menukar bahan buangan ini menjadi batu-bata yang kemudiannya boleh digunakan semula oleh mangsa tsunami ini untuk membina rumah mereka dengan kos yang lebih murah,” jelasnya.

Beliau menambah, penyelidikan itu yang akan dipatenkan turut menerima beberapa maklum balas positif daripada beberapa pihak industri di United Kingdom yang berminat untuk mengkomersialkannya.

Ia berikutan larangan pihak berkuasa di negara itu yang tidak lagi membenarkan aktiviti mengorek pasir di sungai-sungai sebagai bekalan bahan mentah untuk menghasilkan batu-bata.

0 comments: