Ahli politik malu dilihat korek, makan tahi telinga

CANBERRA: Pemimpin pembangkang Australia, Kevin Rudd yang disebut-sebut bakal Perdana Menteri baru, terpaksa tampil menyuarakan rasa kesalnya selepas rakaman imej aksinya memakan tahi telinga, tersebar ke serata dunia.

Rakaman video aksinya itu dirakam enam tahun lalu ketika Rudd yang berada dalam Parlimen, asyik mendengar pertanyaan seorang Ahli Parlimen lain kepada seorang menteri.

Ia antara lain memaparkan aksi Rudd yang juga pemimpin Parti Buruh, memasukkan jari telunjuk ke dalam telinga dan seterusnya ke dalam mulut.

Aksinya itu tersebar menerusi YouTube yang terbukti menarik makin banyak perhatian sejak beberapa minggu lalu.

Berikutan itu, Rudd disoal mengenai perangai 'pengotornya' selepas klip berkenaan disiarkan rancangan bual bicara Amerika Syarkat, The Tonight Show With Jay Leno.

"Saya terharu (dengan kemampuan klip berkenaan muncul di dalam Jay Leno). Apa pendapat anda mengenainya," katanya sambil tertawa sinis.

"Kita semua mempunyai kehidupan peribadi masing-masing. Saya yakin, semua pasti mahukan perangai yang lebih mulia."

Kenyataan terbarunya itu jelas berbeza daripada jawapan asalnya kepada wartawan sebelum ini yang mendakwa dia bukannya mengorek telinga, tetapi menggaru dagu.

Rudd yang fasih berbahasa China, mendahului Perdana Menteri, John Howard, dari segi sokongan umum berdasarkan tinjauan pendapat terbaru menjelang pilihan raya pada 24 November depan. � Agensi

0 comments: