Oleh WAN SYAMSUL AMLY
KUALA LUMPUR 2 Nov. – Siti Salmah Jasni, 18, yang menjalani pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru di Institut Jantung Negara (IJN) di sini dilaporkan masih belum sedar selepas dibedah selama lapan jam.
Pembedahan itu yang berakhir pada pukul 6 pagi tadi dianggap berjaya tetapi pihak IJN terpaksa menunggu 72 jam lagi sebelum membuat sebarang rawatan susulan.
“Kita perlu menunggu. Sehingga sekarang tiada sebarang tindak balas negatif berlaku terhadap kedua-dua organ tersebut walaupun tekanan darah Siti Salmah didapati agak rendah.
“Dia masih belum sedarkan diri di unit rawatan rapi (ICU) IJN. Bagaimanapun, situasi itu sebenarnya normal kepada mana-mana pesakit yang menjalani pembedahan besar seperti ini,’’ kata satu sumber di sini hari ini.
Utusan Malaysia difahamkan, pemindahan organ jantung dan paru-paru terpaksa dilakukan serentak kerana jantung Siti Salmah didapati bengkak.
“Untuk mengelakkan pembedahan susulan dibuat, kita jalankan terus pembedahan kedua-dua organ itu sekali gus.
“Organ yang diperoleh dari Kedah semalam sesuai dengan Siti Salmah. Paru-paru dan jantung wanita yang terlibat dalam kemalangan itu juga berada dalam keadaan baik,’’ ujarnya.
Siti Salmah yang menghidap penyakit Hipertensi Pulmonari menjalani pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru selepas keluarga seorang wanita yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kedah bersetuju untuk mendermakan semua organ dan tisu badan wanita berkenaan.
Organ jantung dan paru-paru untuk Siti Salmah itu dibawa ke IJN dengan penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggunakan pesawat C-130 TUDM yang mendarat di Subang dekat sini pada pukul 1.30 pagi ini.
Sementara itu, bapa Siti Salmah, Jasni Zainal, 52, ketika ditemui berkata, anaknya tersenyum ketika menenangkan ibunya yang menangis teresak-esak sebelum dia masuk ke dewan pembedahan IJN malam tadi.
‘‘Adik (panggilan manja Siti Salmah) tidak takut langsung. Dia cuma senyum dan memujuk ibunya supaya berhenti menangis sebelum dia dibedah,” kata Jasni.
Beliau menambah: “Pembedahan sudah selesai. Kita kini sabar menanti dan reda dengan apa sahaja yang akan berlaku. Kita sudah berikhtiar.’’
Menurut Jasni, isterinya, Sabariah Mustaffa, 49, sebenarnya terlalu terkejut apabila dimaklumkan anaknya akan menjalani pembedahan pindahan jantung dan paru-paru sekali gus.
‘‘Dia terdiam dan menyerahkan kepada saya dokumen persetujuan ibu bapa untuk pembedahan.
‘‘Saya bersetuju dengan pembedahan itu kerana yakin dengan keupayaan pasukan pembedahan IJN. Syukur pembedahan itu selamat,’’ ujarnya.
Jasni memberitahu, isterinya turut tergamam apabila difahamkan inilah kali pertama jantung dan paru-paru dipindahkan secara serentak ke tubuh seorang pesakit IJN.
‘‘Jantung adik bengkak. Jadi untuk mengelakkan pembedahan susulan untuk jantung, doktor mengesyorkan ia dibuat sekali gus,’’ jelasnya.
Menurut Jasni, beliau sendiri sepatutnya pulang ke Johor hari ini untuk menyelesaikan pelbagai urusan kerjanya dan menguruskan permohonan cuti sakit dari sekolah Siti Salmah.
‘‘Radiator kereta saya pula pecah. Jadi saya mengambil keputusan untuk tinggal di sini dua atau tiga hari lagi,’’ katanya.
Jasni seterusnya memuji akhbar Utusan Malaysia yang berkempen mencari penderma paru-paru anaknya. Beliau juga terhutang budi kepada semua tenaga kerja Institut Perubatan Respiratori (IPR) dan IJN.
Kisah Siti Salmah, pelajar Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai yang menunggu sumbangan jantung dan paru-paru dipaparkan dalam Utusan Malaysia dua minggu lalu.
Sejak itu pelbagai usaha dilakukan untuk membantunya mendapatkan organ baru sebagaimana pesakit jantung Tee Hui Yee yang selamat menjalani pembedahan pada awal bulan lalu.
0 comments:
Post a Comment