Ditawar rasuah: BPR mahu jumpa Nik Aziz

Oleh Abdul Razak Raaff

KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan mengambil keterangan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengaku pernah ditawarkan rasuah bernilai jutaan ringgit sepanjang mentadbir negeri itu sejak 17 tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Said Hamdan sudah mengarahkan Pengarah BPR Kelantan, Md Yusoff Md Zain untuk menyiasat perkara itu, termasuk sama ada Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas, pernah membuat laporan berhubung isu berkenaan.

Katanya, mereka dijangka menemui Nik Abdul Aziz minggu depan untuk mengambil keterangan.

"Beliau (Nik Abdul Aziz) sepatutnya terus melaporkan kepada BPR jika ditawarkan rasuah jutaan ringgit daripada pihak tertentu kerana kegagalan berbuat demikian sudah dianggap kesalahan mengikut Seksyen 17 Akta Pencegahan Rasuah 1997.

"Saya tidak tahu sama ada orang tidak menasihatkan beliau atau sebaliknya tetapi Pengarah BPR Kelantan diarah melihat perkara itu," katanya pada sidang akhbar Seminar Perkongsian Sektor Awam dan Swasta Bagi Membanteras Rasuah dan Melindungi Integriti, di sini semalam.

Isnin lalu, media melaporkan Nik Abdul Aziz mendakwa pernah ditawarkan rasuah bernilai jutaan ringgit daripada pihak tertentu sepanjang mentadbir Kelantan tetapi menolaknya kerana menganggap pemberi atau penerima rasuah golongan rendah pemikiran.

"Orang hendak beri (saya) berjuta-juta tetapi kerana ingatkan neraka (saya tolak), buat apa? Duit banyak tapi masuk neraka, di mana cerdiknya?" katanya.

Ahmad Said berkata, semua pihak perlu segera melaporkan kepada BPR jika ditawarkan rasuah kerana ia dapat membantu kerajaan membanteras gejala berkenaan.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya sama ada BPR mengendalikan siasatan kes berprofil tinggi selain yang membabitkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff yang didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini kelmarin, beliau enggan mengulas lanjut.

"Insya-Allah memang ada tetapi tunggulah... kita akan umumkan hujung tahun ini," katanya.

0 comments: