Sultan kecewa isu surau ke mahkamah

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail


SYIAR ISLAM: Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tuanku Haminah Hamidun melihat model Astana Mahkota Puri, Klang sempena lawatan ke Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang, semalam.

Pihak jadikan masjid tempat tonjolkan diri ditegur

KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa dengan tindakan segelintir umat Islam di negeri itu yang cuba menjadikan surau dan masjid sebagai tempat menonjolkan diri dan bertindak angkuh.

Baginda bertitah, ini terbukti apabila ada ahli kariah surau di negeri itu yang membawa isu pelantikan ahli jawatan kuasa surau ke mahkamah hanya kerana tidak puas hati dengan pelantikan itu.


"Sepatutnya isu pelantikan jawatan kuasa surau atau masjid boleh diselesaikan dengan berhemah serta bijaksana dan tidak perlu perasaan tidak puas hati ini diterjemahkan dalam bentuk protes secara senyap seperti mengadakan solat dua imam.

"Tindakan ini tidak akan menjernihkan suasana tetapi semakin mengeruhkan keadaan termasuk menjejaskan surau dan masjid serta mencemarkan Islam," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Masjid Kampung Sungai Udang di sini yang berharga hampir RM5 juta dan siap sepenuhnya pada 18 September 2005.


Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Azib Mohd Isa; Mufti negeri, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Sultan Sharafuddin mencadangkan supaya institusi masjid membuat penilaian prestasi terhadap ahli jawatankuasanya, pencapaian ekonomi masjid dan pembabitan orang ramai di masjid berkenaan.

Baginda juga menyarankan masjid memperkenalkan slogan Mesra Jemaah yang memberi peluang ahli kariah menggunakan semua kemudahan yang disediakan di masjid dengan sebaiknya.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima lawatan Diraja Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Tuanku Haminah Hamidun ke Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, di sini petang semalam.

Lawatan lebih sejam itu adalah lawatan tetamu Diraja pertama ke galeri yang menempatkan pelbagai artifak sejarah pemerintahan Sultan Selangor terdahulu sehingga kini, sejak ia dibuka secara rasmi pada 20 Oktober lalu.



Sultan Sharafuddin berkenan memberi penerangan kepada Sultan Abdul Halim mengenai pelbagai artifak sejarah keluarga Diraja termasuk gambar keluarga Diraja, pingat darjah kebesaran yang diterima Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah serta hadiah yang diterima.

Pasangan Diraja itu kemudian diraikan Sultan Sharafuddin di Istana Alam Shah dalam jamuan petang.

0 comments: