YANGON 2 Nov. – Talian Internet di Myanmar hari ini dilaporkan telah ditapis dengan ketat sementara pengguna Internet tempatan pula telah lebih 24 jam gagal memasuki laman web antarabangsa.
Seorang pegawai syarikat perkhidmatan telekomunikasi milik kerajaan, Myanmar Teleport menyatakan sekatan itu didapati berlaku menjelang lawatan kedua utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Gambari ke negara ini.
“Pengguna Internet hanya boleh membuka laman web tempatan sementara hubungan ke laman web antarabangsa gagal diperolehi sejak 8 pagi semalam,” katanya.
Syarikat pelancongan tempatan pula melaporkan terpaksa menggunakan mesin faks bagi menggantikan talian Internet untuk berhubung dengan dunia luar.
Sementara itu, laman web dan blog penentang kerajaan dilihat semakin aktif ketika lawatan Ibrahim dilihat semakin hampir dengan meningkatkan kutukan terhadap tindakan keras junta menangani penentang kerajaan.
Laman web berita Mizzima menyatakan reputasi junta telah tercalar teruk selepas dunia menyaksikan kekejaman tentera dalam menyuraikan penunjuk perasaan sebelum ini.
Laman web seperti ini juga kini menjadi penyampai maklumat terpantas dari dalam Myanmar dan sumber berita untuk dunia luar.
– AFP
0 comments:
Post a Comment