Ramli Yusuff digantung tugas

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM

SEREMBAN 2 Nov. – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff digantung tugas berikutan beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Najib Abdul Aziz berkata, tindakan itu merupakan prosedur terkandung dalam Perintah Am Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Kalau mengikut prosedur, orang yang kena tindakan mahkamah digantung tugas sehinggalah kes tersebut selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Semalam, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Ramli menghadapi dua tuduhan gagal mengisytiharkan harta berupa dua petak ruang pejabat dan 154,000 unit saham serta terlibat dalam perniagaan.

Rabu lalu, Ramli mengadakan sidang akhbar tergempar dan membuat pengakuan bahawa beliau merupakan pegawai kanan polis yang laporkan media memiliki aset RM27 juta serta sedang disiasat Badan Pencegah rasuah (BPR) namun menafikan memiliki aset sebanyak itu.

Mengulas mengenai kedudukan Ramli dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas ini, Mohd. Najib menegaskan: “Biarlah mahkamah yang tentukan kes dia dulu, kalau mahkamah kata bersalah, bersalahlah dan kalau mahkamah kata tak bersalah, tak bersalahlah dia.”

Tambah beliau, apa juga kejadian yang tidak baik membabitkan pasukan polis pasti menarik perhatian masyarakat dan ia sedikit sebanyak telah menjejaskan kredibiliti pasukan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan moral anggota polis secara amnya tidak terjejas dan menasihatkan semua anggota agar menjaga disiplin.

“Bagi yang menjalankan tugas dengan betul, mereka tidak perlu risau apa-apa,” tegasnya.

Beliau yang akan bersara 13 November ini menasihatkan semua pegawai dan anggota polis agar menjalankan tugas mereka dengan baik, telus, bersih, cekap dan beramanah.

Katanya, tahap disiplin masih boleh dipertingkatkan dan paling penting pegawai dan anggota wajib mematuhi semua peraturan dan arahan yang ditetapkan.

0 comments: